KUALA LUMPUR – China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCCECRL), kontraktor Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) memulakan kerja-kerja Seksyen D yang menandakan permulaan rasmi pembinaan jajaran rel sepanjang 25 kilometer menghubungkan Stesen Jalan Kastam di Pelabuhan Klang ke Northport dan Westports.
Pelaksanaan Seksyen D itu dimulakan susulan kelulusan kerajaan terhadap skop projek yang disemak semula pada 2025 serta pemeteraian Perjanjian Tambahan Ke-7 (SA7) bagi kontrak EPCC ECRL.
Perjanjian berkenaan membuka laluan kepada pelaksanaan sambungan strategik yang menghubungkan rangkaian ECRL dengan dua pelabuhan utama negara iaitu Northport dan Westports.
CCCECRL dalam kenyataan berkata, Seksyen D memainkan peranan penting dalam melengkapkan konsep jambatan darat ECRL yang menghubungkan pelabuhan di Pantai Timur dan Pantai Barat.
Menurutnya, jajaran itu akan menampilkan konfigurasi landasan berkembar yang menggabungkan landasan tolok standard baharu bersama landasan tolok meter sedia ada milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
“Konfigurasi ini akan mengoptimumkan perkhidmatan kargo rel merentasi rangkaian ECRL dan KTMB, selain meningkatkan kapasiti pengangkutan barangan serta kecekapan operasi,” katanya.
Pengarah Urusan CCCECRL, Deng Bo berkata, pelaksanaan Seksyen D menandakan lembaran baharu dalam usaha memperkukuh kesalinghubungan rel di Malaysia.
“Dengan jajaran utama ECRL kini semakin hampir untuk disiapkan dan memasuki fasa akhir ujian serta pentauliahan, Seksyen D menandakan lembaran baharu dalam memperkukuh kesalinghubungan rel di Malaysia.
“Berbekalkan rekod prestasi yang terbukti dalam pelaksanaan projek, CCCECRL kekal komited menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial Malaysia melalui penyampaian infrastruktur rel bertaraf dunia,” katanya.
Setelah siap sepenuhnya, Seksyen D akan menyediakan hubungan rel yang lancar antara kawasan depoh kereta api di Kuantan Port, Northport dan Westports, sekali gus meningkatkan kecekapan pergerakan kargo antara Pantai Timur dan Pantai Barat.
CCCECRL berkata, peralihan pengangkutan kargo daripada jalan raya kepada rel dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, mengurangkan kebergantungan terhadap pergerakan kenderaan berat serta menyumbang kepada operasi logistik yang lebih mampan.
Projek ECRL sepanjang 665 kilometer itu akan menghubungkan Kota Bharu ke Pelabuhan Klang merentasi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
Jajaran Kota Bharu-Gombak dijadualkan siap pada Disember 2026 dan memulakan operasi komersial pada Januari 2027, manakala jajaran Gombak-Pelabuhan Klang dijangka siap pada Disember 2027 sebelum operasi penuh bermula pada Januari 2028. – MalaysiaGazette
















