KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke perlu memberikan penjelasan berhubung penganugerahan kontrak bernilai RM178 juta kepada Integriti Padu Sdn Bhd bagi pelaksanaan sistem Permit Kemasukan Kenderaan Asing (VEP), kutipan caj jalan serta permit kemasukan kenderaan asing di sempadan Malaysia-Singapura.
Ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei yang mengesanya susulan laporan media The Edge yang mendakwa, kontrak berkenaan dianugerahkan kepada Integriti Padu Sdn Bhd yang dimiliki oleh Nasir Baki iaitu adik kepada bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Albert berkata, Anthony perlu menjelaskan secara terbuka bagaimana syarikat tersebut dipilih untuk menerima kontrak bernilai tinggi itu termasuk mendedahkan tatacara perolehan, kelayakan syarikat dan proses kelulusan yang digunakan.
“Justeru itu, saya menggesa penjelasan daripada Anthony selaku Menteri Pengangkutan bagaimana kontrak sebesar itu boleh dianugerahkan kepada syarikat yang dimiliki oleh adik Azam.
“Sila dedahkan tatacara, kelayakan dan proses kelulusan berkenaan penganugerahan kontrak tersebut kepada umum,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Albert turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan bagi memastikan ketelusan dan keyakinan rakyat terhadap proses perolehan kerajaan terus terpelihara.
Katanya, pendedahan terperinci mengenai proses penganugerahan kontrak itu penting bagi menjawab persoalan yang timbul serta mengelakkan sebarang persepsi negatif dalam kalangan masyarakat. – MalaysiaGazette
















