KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kereta Perodua Bezza dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar beberapa motosikal yang diparkir di bahu jalan di Jalan Santuari Utama dari arah Prima Setapak menghala ke Wangsa Maju, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 5.30 pagi ketika kereta dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun itu sedang bergerak di lorong paling kiri sebelum mengelak sebuah motosikal yang keluar dari simpang di sebelah kanan.
“Tindakan tersebut menyebabkan pemandu terbabit hilang kawalan sebelum kenderaan terbabit terbabas dan melanggar beberapa motosikal yang diparkir di bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, tiada kecederaan dilaporkan membabitkan pemandu kereta itu namun identiti pemilik motosikal terlibat sedang dikesan.
“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk merakam percakapan pemandu serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian.
“Selain itu kita juga mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan dan kes akan disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959,” jelasnya.
Beliau juga minta orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette















