KUALA LUMPUR – Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) memperkukuh tindakan menangani aktiviti perniagaan tidak sah yang melibatkan warga asing, selain mempercepat reformasi peraturan bagi mewujudkan ekosistem perniagaan yang adil, telus dan berdaya saing.
Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Pemudah Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Penasihat Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Datuk Ameer Ali Mydin.
Kementerian Ekonomi berkata, dalam mesyuarat itu, Pemudah meneliti isu penyalahgunaan pas imigresen atau visa, penggunaan proksi, penyewaan lesen serta amalan “Ali Baba” oleh warga asing yang didakwa menjejaskan persaingan adil dan kelangsungan peniaga tempatan.
Sehubungan itu, mesyuarat bersetuju melaksanakan strategi intervensi berasaskan pendekatan pematuhan, pemantauan dan pemerkasaan (3P) merangkumi pengukuhan pematuhan vendor, perkongsian data serta penguatkuasaan bersepadu antara agensi.
Selain itu, pendekatan berkenaan turut melibatkan pemantauan berasaskan risiko dan usaha meningkatkan keupayaan industri bagi mengenal pasti serta melaporkan ketidakpatuhan.
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bersama agensi kerajaan berkaitan akan memperincikan dan menyelaras tindakan susulan bagi menangani isu berkenaan.
Selaras dengan usaha itu, Kementerian Ekonomi sedang memperincikan cadangan kerangka perundangan bagi membendung amalan ‘Ali Baba’ termasuk menilai keperluan undang-undang baharu atau penambahbaikan terhadap peruntukan sedia ada.
Sementara itu, mesyuarat turut mengambil maklum peningkatan kedudukan Malaysia dalam IMD World Competitiveness Ranking (WCR) 2026, iaitu daripada tangga ke-23 pada 2025 kepada tangga ke-15 daripada 70 ekonomi yang dinilai.
Penarafan tersebut menilai prestasi negara berdasarkan empat faktor utama iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur.
Pemudah akan meneruskan reformasi peraturan secara lebih berfokus bagi meningkatkan kecekapan kerajaan, memperbaiki kualiti kawal selia serta memudahkan urusan perniagaan termasuk melalui penyelarasan dengan kerangka Business Ready (B-READY).
Usaha itu selaras dengan sasaran meletakkan Malaysia dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing dunia menjelang 2030. – MalaysiaGazette















