SFZ Forest City sehingga kini menerima 260 pertanyaan pelabur diterima Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J)

ISKANDAR PUTERI – Forest City tidak akan bertoleransi dengan sebarang pelanggaran undang-undang, syarat pelesenan, peraturan imigresen atau penyalahgunaan premis.

Country Garden Pacificview Sdn Bhd dalam satu kenyataan menegaskan, sekiranya pihak berkuasa mendapati wujud sebarang pelanggaran undang-undang, pelesenan, imigresen, penggunaan tanah atau kontrak maka tindakan sewajarnya akan diambil.

Kenyataan itu memaklumkan, syarikat terbabit akan menggunakan segala hak yang terdapat dalam undang-undang serta hak kontraktual yang diperuntukkan.

“Forest City menyambut baik tindakan pantas dan tegas. Kerajaan dalam menjalankan siasatan berhubung isu melibatkan Network School serta menghargai profesionalisme yang ditunjukkan oleh pihak berkuasa berkaitan sepanjang proses tersebut.

“Syarikat itu memaklumkan bahawa pihaknya telah memberikan kerjasama sepenuhnya sejak awal siasatan dan menyambut baik hasil siasatan yang diumumkan setakat ini.

“Forest City turut mengambil maklum kenyataan Menteri Digital, Gobind Singh Deo bahawa sebarang dakwaan berkaitan pelanggaran undang-undang atau syarat pelesenan hendaklah disiasat secara menyeluruh, dengan tindakan sewajarnya diambil sekiranya wujud sebarang pelanggaran,” menurut kenyataan tersebut hari ini.

Jelas kenyataan itu, Forest City sentiasa beroperasi selaras dengan undang-undang Malaysia, dasar kerajaan serta segala keperluan kawal selia yang berkuat kuasa.

Tambahnya, tiada mana-mana penyewa, pengendali atau organisasi yang mengatasi undang-undang.

“Sebarang isu berkaitan pelesenan, imigresen atau pematuhan peraturan hendaklah ditentukan oleh pihak berkuasa melalui proses perundangan yang sewajarnya.

“Sebagai pemaju induk, Forest City berkata peranannya adalah menyokong aspirasi Kerajaan Negeri Johor dalam membangunkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City (SFZ) sebagai hab pelaburan bernilai tinggi, inovasi digital serta industri berteknologi tinggi yang berdaya saing di peringkat global.

“Network School merupakan antara organisasi yang tertarik kepada ekosistem pelaburan tersebut,” tegas kenyataan itu lagi.

Walau bagaimanapun pendirian syarikat tersebut sama seperti mana-mana pelabur, penyewa dan pengendali lain di Forest City iaitu organisasi itu tetap tertakluk kepada undang-undang Malaysia, syarat pelesenan serta keperluan kawal selia yang berkuat kuasa.

Forest City tidak mempunyai kuasa untuk memberikan pengecualian kawal selia mahupun mengambil alih fungsi pihak berkuasa atau agensi penguat kuasa.

Syarikat itu yakin hasil siasatan berkenaan akan terus memperkukuh keyakinan masyarakat dan pelabur terhadap ekosistem Zon Kewangan Khas Forest City.

“Bersama kerajaan dan rakan-rakan industri, kami komited untuk terus menarik lebih banyak syarikat teknologi maklumat dan kecerdasan buatan bertaraf dunia, memacu inovasi serta menyumbang ke arah masa depan Johor dan Malaysia yang lebih maju, mampan dan berdaya saing,” ujar kenyataan itu.

Pada 14 Julai lalu media melaporkan Kerajaan Negeri Johor menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan supaya menjalankan siasatan berhubung operasi Network School di Forest City yang didakwa disertai warga Israel.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata warga berkenaan dipercayai menggunakan pasport negara kedua untuk memasuki Malaysia bagi menyertai program tersebut yang sekali gus menimbulkan kebimbangan rakyat.

Sehari sebelum itu, tular beberapa hantaran termasuk video di Threads yang mempersoalkan tujuan sebenar Network School beroperasi di Forest City, yang didakwa disertai warga asing termasuk Israel.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast