KUALA LUMPUR – Harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing meningkat 20 sen seliter, manakala harga diesel tanpa subsidi meningkat 35 sen seliter bagi tempoh 23 Julai hingga 29 Julai 2026.

Kementerian Kewangan menjelaskan, harga produk petroleum tanpa subsidi dipengaruhi oleh pergerakan pasaran minyak dunia pada minggu terdahulu yang menyaksikan harga minyak mentah Brent meningkat sebanyak 16 peratus sepanjang minggu lalu.

Ia susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran kembali memuncak selepas berakhirnya tempoh gencatan senjata selain sekatan terhadap perkapalan serta pengurangan aliran kapal melalui Selat Hormuz yang meningkatkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan petroleum global.

“Kenaikan harga minyak mentah turut didorong oleh paras inventori global yang semakin ketat serta ancaman gangguan terhadap penghantaran minyak dari Arab Saudi.

“Pasaran petroleum global dijangka kekal tidak menentu selagi penyelesaian konflik belum dimuktamadkan.

“Meskipun usaha untuk menghidupkan semula rundingan dan cadangan gencatan senjata telah mengehadkan sebahagian kenaikan harga, perkembangan tersebut masih belum meredakan kebimbangan pasaran terhadap risiko gangguan bekalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Harga bahan api bersubsidi bagi tempoh tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang perubahan, kata MOF.

Tambahnya, walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.

Merancang perjalanan yang lebih cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast