SEREMBAN – Naratif mengundi Pakatan Harapan (PH) bermaksud tidak menyokong kepimpinan Melayu-Islam hanyalah propaganda politik yang dimainkan kerana pihak lawan tidak mempunyai pencapaian untuk dipertahankan.
Calon PH N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad menegaskan, dakwaan sedemikian tidak berasas kerana PH tetap meletakkan calon Melayu beragama Islam di kawasan majoriti Melayu, sekali gus menolak tuduhan kononnya parti itu mengetepikan kepimpinan Melayu.
“Pembahagian kerusi dalam PH juga masih mengambil kira komposisi tradisional parti-parti komponen, termasuk kerusi yang sebelum ini ditandingi MCA dan MIC.
“Saya tak pasti kenyataan itu datang daripada orang yang benar-benar meneliti senarai calon ataupun tidak. Hakikatnya, di kawasan majoriti Melayu, PH tetap meletakkan calon Melayu.
“Saya tidak nampak ada kawasan majoriti Melayu yang diserahkan kepada calon bukan Melayu seperti yang didakwa,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika berkempen rumah ke rumah di Kampung Ujong Pasir hari ini.

Nor Azman mendakwa isu kaum dan agama sengaja dibangkitkan bagi mengalih perhatian pengundi daripada membincangkan prestasi pentadbiran dan tawaran dasar kepada rakyat.
“Kempen pilihan raya sepatutnya tertumpu kepada perbandingan manifesto, rekod pentadbiran serta penyelesaian terhadap isu rakyat, bukannya memainkan sentimen perkauman,” katanya.
Beliau turut mencabar Perikatan Nasional (PN) supaya mengetengahkan pencapaian kerajaan negeri yang ditadbir gabungan itu, khususnya di empat negeri yang sering dirujuk sebagai SG4, sekiranya benar mempunyai rekod pentadbiran membanggakan.
“Kalau negeri-negeri PN benar-benar berjaya, bentangkanlah pencapaian mereka supaya rakyat Negeri Sembilan boleh menilai apa yang boleh dibawa ke negeri ini.
“Kalau Barisan Nasional (BN) pula mahu berhujah, bawalah prestasi kerajaan negeri yang mereka tadbir seperti Johor. Bertembunglah dengan hujah, manifesto dan prestasi bukan sentimen kaum,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan politik berasaskan kaum sebagai pendekatan yang semakin tidak relevan dalam landskap politik negara.
Beliau berkata, pengundi kini lebih matang dan sewajarnya menilai parti politik berdasarkan keupayaan mentadbir serta dasar yang ditawarkan, bukannya dipengaruhi naratif perkauman.
“Saya harap politik perkauman tidak lagi dijadikan modal dalam mana-mana pilihan raya selepas ini. Rakyat berhak membuat pilihan berdasarkan prestasi, bukannya propaganda memecahbelahkan masyarakat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















