JOHOR BAHRU – Johor mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya melantik 10 Timbalan Exco bagi memperkukuhkan pentadbiran serta mempercepat pelaksanaan dasar, projek dan program ke arah merealisasi agenda Maju Johor 2030.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelantikan itu dibuat selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bagi meningkatkan kapasiti pentadbiran kerajaan negeri selaras dengan pembangunan Johor yang semakin pesat.
Beliau memberitahu, senarai Timbalan Exco Kerajaan Negeri Johor adalah seperti berikut;
1) ADUN Rengit, Zaidi Japar, 57, Timbalan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan
2) ADUN Serom, Nadhirah Afiqah Abdull Rahim, 32, Timbalan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan
3) ADUN Pemanis, Anuar Abd Manap, 50, Timbalan Exco Hal Ehwal Agama Islam
4) ADUN Tenggaroh, Mohd Youzaimi Yusof, 52, Timbalan Exco Kesihatan dan Alam Sekitar
5) ADUN Mahkota, Syed Hussein Syed Abdullah, 42, Timbalan Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia
6) ADUN Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri, 44, Timbalan Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi
7) ADUN Johor Jaya, Chan San San, 46, Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
8) ADUN Gambir, Sahrihan Jani, 49, Timbalan Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar
9) ADUN Layang Layang, Chua Jian Boon, 33, Timbalan Exco Perpaduan, Warisan dan Budaya
10) ADUN Kahang, V Rugendra, 29, Timbalan Exco Pendidikan dan Penerangan
Onn Hafiz berkata, setiap Timbalan Exco akan membantu Exco masing-masing dalam memantau pelaksanaan projek dan program, menyelaras tindakan di lapangan serta mempercepat penyelesaian isu-isu rakyat.
“Setiap Timbalan Exco perlu bekerjasama rapat dengan Exco, jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan secara efektif dan manfaatnya sampai ke peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengumumkan pelantikan Timbalan Exco Kerajaan Negeri Johor di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini hari ini.
Katanya, kerajaan negeri akan memastikan segala janji manifesto yang dibentangkan diterjemahkan kepada tindakan dan hasil yang akan dirasai oleh seluruh rakyat Bangsa Johor.
“Pada masa sama, pelaksanaan Johor Plan Transformasi Ekonomi Johor (JTEP) akan menjadi antara fokus utama bagi memastikan pembangunan yang lebih menyeluruh, seimbang dan inklusif di setiap daerah dapat diteruskan,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua yang dilantik dan menyifatkan pelantikan itu sebagai amanah besar dalam memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai lalu menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus diberi mandat membentuk kerajaan negeri bagi penggal baharu.
Selepas Onn Hafiz mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Johor pada 12 Julai lalu, seramai 10 Exco Kerajaan Negeri Johor yang baharu mengangkat sumpah pada 18 Julai lalu.- MalaysiaGazette
















