KUALA LUMPUR – Polis menyiasat motif sebenar kes pembunuhan seorang lelaki warga asing yang ditemukan maut dengan kesan tikaman di Bandar Mahkota Cheras, Kajang pada Isnin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, beberapa siri tangkapan melibatkan warga asing yang senegara dengan mangsa telah dilakukan pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang .
“Siasatan masih belum selesai dan kita cuba ‘establish’ motif sebenar,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Dalam pada itu, Shazeli tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan baharu berhubung dengan kes terbabit ketika ditanya mengenai perkara tersebut.
“InsyaALLAH… berdasarkan berdasarkan tangkapan awal dijalankan, kita dapati mungkin ada maklumat yang dapat bantu siasatan.
“Kita percaya yang terlibat juga warga asing,” jelasnya,
Sebelum itu, seramai lima lelaki warga asing berusia lingkungan 20 hingga 30-an ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki di Bandar Mahkota Cheras.
Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kajang mengesahkan punca kematian mangsa akibat pendarahan pada bahagian abdomen berpunca daripada kecederaan tikaman.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan sekumpulan lelaki mengangkat mayat sebelum ditemui penduduk di kawasan padang.- MalaysiaGazette
















