JOHOR BAHRU – Lapan ditahan termasuk seorang remaja kerana terbabit sindiket pengedaran dadah dengan rampasan RM3.04 juta dalam tiga serbuan berasingan di bandar raya ini di sini, 18 Julai lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, serbuan yang dijalankan pada pukul 9 malam itu berjaya merampas 50 paket dadah seberat 60.78 kilogram (kg) disyaki methamphetamine.
“Serbuan yang dilakukan berdasarkan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, kita menahan tujuh lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia antara 16 hingga 78 tahun.
“Serbuan pertama dijalankan di kawasan tempat letak kenderaan berhampiran sebuah hotel di Johor Bahru yang berjaya menahan empat lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Perodua Bezza milik datuk kepada remaja lelaki itu, menemukan 50 paket plastik disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 60.78 kilogram.
Katanya, serbuan susulan di hotel sama berjaya menahan tiga lagi lelaki tempatan, namun pemeriksaan tidak menemui sebarang dadah.
Ab Rahaman berkata, siasatan mendapati remaja terbabit dan lelaki warga asing berperanan sebagai penghantar dadah.
Katanya, seorang lagi bertindak sebagai ‘runner’, manakala dua individu lain merupakan orang kanan kepada suspek ketujuh yang membantu menguruskan operasi sindiket.
“Suspek ketujuh berumur 50 an dikenal pasti sebagai ketua sindiket. Manakala suspek kelapan dipercayai perancang utama yang mengatur keseluruhan operasi sindiket,” jelasnya.

Sindiket itu dipercayai aktif sejak awal Mei lalu dengan menjadikan kenderaan sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Tambahnya, jumlah dadah yang dirampas itu dianggarkan mampu digunakan oleh seramai 303,900 penagih.
Jelas Ab Rahaman, berdasarkan siasatan dan semakan yang dibuat, remaja terbabit bukannya pelajar.
Ujarnya, pesalah juvana itu tidak bersekolah sejak Januari 2025 sehingga sekarang.
“Maknanya dengan kata lain, dia telah tercicir dan diabaikan oleh pihak keluarga. Polis mengingatkan kepada semua warga Johor khususnya para ibu bapa, supaya mengambil berat aspek pengawalan kepada anak-anak mereka agar tidak terlibat dengan sebarang penyalahgunaan dadah.
“Sekiranya mereka ditangkap dan juga didakwa, ia akan menjejaskan masa depan golongan ini,” katanya.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek positif methamphetamine termasuk remaja terbabit, manakala lima suspek lagi negatif dadah.
Semakan rekod lampau pula mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah, katanya.
Pihaknya turut menyita pelbagai aset bernilai RM100,162 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, melibatkan sebuah Toyota Camry, sebuah Proton Saga serta pelbagai barang kemas.
Beliau memberitahu nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan dianggarkan berjumlah RM3.14 juta.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 19 Julai hingga 25 Julai 2026 bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette
















