ISKANDAR PUTERI – Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) hari ini mengambil tindakan penguatkuasaan menutup dan menyita premis Network School di Forest City selepas menyerahkan Notis Pembatalan Lesen.
Anggota penguat kuasa MBIP tiba di lokasi kira-kira pukul 11.30 pagi bagi melaksanakan operasi penyerahan notis sebelum tindakan penutupan dan penyitaan premis dilakukan.

Salah sebuah premis kemudian dipasang pita penghalang berwarna kuning yang tertera logo MBIP serta notis perintah tutup premis yang berkuat kuasa mulai pukul 11.45 pagi, sekali gus menghalang sebarang aktiviti dijalankan di premis berkenaan.
Notis itu menyatakan tindakan diambil mengikut Undang-Undang Kecil 49(2), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBIP) 2018.
Tinjauan di lokasi mendapati petugas media mula berkumpul seawal pukul 10 pagi meskipun dalam keadaan cuaca renyai bagi mengikuti operasi penguatkuasaan tersebut.

Difahamkan, MBIP akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat berhubung tindakan penutupan dan penyitaan premis itu.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dijadual mengadakan sidang media di Bangunan Dato’ Jaafar, Kota Iskandar di sini pada pukul 2.30 petang bagi menjelaskan perkembangan lanjut mengenai tindakan yang diambil terhadap Network School. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















