Pasangan berkenaan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman hari ini.

GEORGE TOWN – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan sepasang kekasih direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah membabitkan penggunaan objek menyerupai pistol terhadap dua lelaki di sebuah rumah di Halaman Paya Terubong di sini.

Perintah reman terhadap lelaki dan wanita masing-masing berusia 18 tahun itu dikeluarkan Majistret S. Selvaranjini bermula hari ini bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Terdahulu kedua-dua mereka yang bekerja sebagai juruwang ditahan dalam serbuan di sebuah hotel bajet di Jalan Tun Dr Awang di sini malam tadi.

Pihak polis menahan pasangan berkenaan sebelum menjalankan siasatan di sebuah hotel bajet di Jalan Tun Dr Awang, malam tadi.

Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas sepucuk pistol bersama satu kelopak peluru yang menyerupai senjata sebenar bagi membantu siasatan.

Difahamkan, tangkapan terhadap suspek dibuat selepas dua lelaki membuat laporan diugut suspek lelaki yang juga penyewa rumah mereka susulan menegur pasangan berkenaan bergaduh sesama sendiri.

Suspek lelaki itu dikatakan mengacu pistol terhadap mereka sebelum keluar dari bilik sewa tersebut bersama kekasihnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast