KUALA LUMPUR – Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) tidak mempertahankan mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang.
Sebaliknya, pelaksanaan penguatkuasaan perlulah dilaksanakan secara sama rata lebih-lebih lagi seperti yang dialami aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak yang bakal didakwa di mahkamah, kata pengerusinya, Firdaus Wong.
Beliau berkata, GARAH menghormati proses perundangan dan berpandangan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agama, kaum, fahaman politik atau kedudukan perlu tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurutnya, persoalan utama yang dibangkitkan bukanlah berhubung tindakan terhadap Tamim sebaliknya mengapa pihak berkuasa dilihat pantas menyiasat, menahan dan mendakwa individu tertentu sedangkan pelbagai aduan berkaitan pembinaan rumah-rumah anutan bukan Islam yang didakwa dibina secara haram masih belum menerima tindakan penguatkuasaan yang setimpal.
“Penguatkuasaan tidak boleh bersifat double standard. Jika seseorang boleh didakwa kerana melanggar undang-undang maka pihak lain yang melakukan kesalahan sama atau seumpamanya juga perlu disiasat dan diambil tindakan berdasarkan undang-undang yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Firdaus mendakwa, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ratusan laporan polis dan aduan telah dikemukakan kepada pelbagai agensi berhubung dakwaan pembinaan rumah-rumah anutan tanpa kebenaran termasuk yang didakwa melibatkan pencerobohan tanah kerajaan, tanah persendirian, kawasan hutan simpan dan kawasan awam.
Katanya, isu tersebut turut mendapat perhatian umum termasuk titah Sultan Selangor yang menekankan kepentingan pematuhan terhadap undang-undang dan tatacara dalam pembinaan rumah ibadat.
“Sekiranya benar berlaku pelanggaran undang-undang, apakah tindakan menyeluruh yang telah diambil dan mengapa banyak kes masih berlarutan sehingga hari ini tanpa penyelesaian yang jelas?” soalnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, GARAH berharap Tamim diberikan perbicaraan yang adil berdasarkan fakta, bukti dan undang-undang tanpa dipengaruhi tekanan mana-mana pihak.
Tambahnya, sekiranya bantuan yang dibenarkan undang-undang diperlukan, GARAH bersedia memberikan sokongan sewajarnya kepada Tamim.
Mengulas lanjut, Firdaus menegaskan, GARAH akan terus mendesak kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan semua agensi penguatkuasa supaya mengambil tindakan yang konsisten terhadap mana-mana pembinaan rumah anutan yang didapati melanggar undang-undang.
“Perjuangan kami bukan menentang mana-mana agama atau kaum, tetapi mempertahankan kedaulatan undang-undang, hak milik, kelestarian alam sekitar dan prinsip keadilan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Di Malaysia, tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang dan tiada pihak yang kebal daripada tindakan sekiranya terbukti melanggar undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette
















