Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS)

SEREMBAN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menggantung sementara tauliah mengajar agama membabitkan lapan ahli politik dan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 sepanjang tempoh rasmi kempen.

Keputusan itu dibuat bagi menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dengan penggantungan berkuat kuasa mulai 18 Julai 2026 sehingga satu notis baharu dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.

“Semua aktiviti pengajaran serta penyampaian ceramah agama oleh pemegang Tauliah Mengajar Agama Negeri Sembilan yang terdiri daripada ahli politik atau calon PRN digantung sementara sepanjang tempoh kempen,” kata kenyataan itu.

Perkara berkenaan dimaklumkan menerusi surat edaran bertarikh 20 Julai 2026 yang dihantar kepada pengerusi jawatankuasa kariah masjid, surau solat Jumaat dan surau di seluruh negeri ini.

Antara pemegang tauliah yang digantung sementara ialah calon Barisan Nasional (BN), Datuk Jaafar Muhammad (Senawang), Ahmad Shahir Mohd. Shah (Gemencheh), Muhammad Aqil Irfan Razali (Pilah) dan Senator Dr. Jufitri Joha (Juasseh); calon PH Nor Azman Mohamad (Sikamat) dan Mohd. Umry Abdul Khois (Pertang) serta calon PN Mohd. Fairuz Mohd. Isa (Serting) dan Abdul Fatah Zakaria (Bagan Pinang).

“Penggantungan ini berkuat kuasa mulai 18 Julai 2026 sehingga satu notis pemberitahuan baharu dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.

“Kegagalan mematuhi arahan ini boleh menyebabkan tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa serta syarat-syarat Tauliah Mengajar Agama Negeri Sembilan,” katanya.

Langkah itu dilihat sebagai usaha memastikan institusi masjid dan surau kekal berkecuali daripada sebarang aktiviti berunsur politik sepanjang tempoh kempen PRN Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast