Calon PH N.16 Seri Menanti, Kamarul Arifin Wafa ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Terachi, Kuala Pilah. Foto FAREEZ FADZIL, 22 JULAI 2026.

KUALA PILAH – Calon Pakatan Harapan (Harapan) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti mahu mengembalikan kawasan itu sebagai sebuah pusat pertanian moden yang mampu menjana ekonomi penduduk, menarik golongan muda pulang ke kampung tanpa mengabaikan identiti adat dan warisan yang menjadi kebanggaan masyarakat setempat.

Usaha itu akan digerakkan melalui pemerkasaan sektor pertanian dan penternakan, selain memanfaatkan tanah adat serta tanah pertanian yang masih luas di Seri Menanti bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan penduduk dan menghidupkan semula ekonomi luar bandar.

Calon Harapan, Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa berkata, hasrat itu menjadi antara teras utama manifestonya selepas beliau sendiri melihat potensi besar kawasan berkenaan sepanjang kempen bertemu penduduk dari rumah ke rumah.

Selain mendengar pelbagai aduan berkaitan kehidupan harian, beliau turut mendapati ramai penduduk mahu melihat Seri Menanti terus membangun tanpa mengorbankan nilai tradisi diwarisi sejak sekian lama.

“Seri Menanti tidak boleh hanya dikenali sebagai kawasan bersejarah dan penuh dengan adat istiadat. Kita mahu kawasan ini hidup dengan aktiviti ekonomi yang mampu memberi manfaat kepada rakyat, khususnya anak muda.

“Kita mempunyai tanah adat dan tanah pertanian yang luas. Jika dimanfaatkan dengan baik melalui sokongan kerajaan negeri, ia mampu menjadi pemangkin kepada industri pertanian dan penternakan yang lebih moden serta berdaya saing.

“Matlamat saya ialah supaya lebih ramai anak muda memilih untuk kembali menetap di Seri Menanti kerana ada peluang pekerjaan dan sumber pendapatan yang baik di kampung sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Calon PH N.16 Seri Menanti, Kamarul Arifin Wafa bercakap ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Terachi, Kuala Pilah. Foto FAREEZ FADZIL, 22 JULAI 2026.

Beliau berkata, sepanjang siri ziarah dilakukan, penerimaan masyarakat amat positif dengan kebanyakan penduduk menyambut baik kehadirannya untuk berkenalan, bertanya khabar dan mendengar sendiri permasalahan yang mereka hadapi.

Katanya, antara isu paling kerap dibangkitkan ialah keadaan jalan raya yang memerlukan penambahbaikan, rumah mengalami masalah atap bocor, keperluan mendapatkan rawatan kesihatan serta pelbagai isu kebajikan yang memerlukan perhatian segera.

Namun, menurut beliau, perkara yang paling memberi kesan ialah harapan masyarakat agar wakil rakyat tidak hanya muncul ketika musim pilihan raya.

“Saya dapati rakyat bukan sekadar mahu masalah mereka diselesaikan, tetapi mereka mahu terus disantuni. Mereka mahu wakil rakyat hadir mendengar dan mengambil tahu keadaan mereka.

“Sebab itu saya percaya budaya turun padang dan menziarahi penduduk tidak boleh bermusim. Selepas pilihan raya selesai, amalan itu mesti diteruskan kerana itulah tanggungjawab sebenar seorang wakil rakyat,” ujarnya.

Mengulas manifesto Harapan Negeri Sembilan yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, Kamarul Arifin menyifatkan dokumen itu sebagai kesinambungan kepada pelbagai dasar serta pencapaian kerajaan negeri sejak 2018.

Beliau berkata, manifesto berkenaan bukan sekadar menawarkan janji baharu, sebaliknya memperkukuhkan pelbagai inisiatif yang telah terbukti memberi manfaat kepada rakyat dengan penambahbaikan mengikut keperluan semasa.

“Saya melihat komitmen kerajaan negeri selama ini jelas menunjukkan kesungguhan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat. Manifesto kali ini pula memperkasakan lagi usaha tersebut dan saya yakin ia mampu direalisasikan jika diberikan mandat,” jelas beliau.

Di peringkat Seri Menanti, beliau berkata, manifestonya turut memberi penekanan kepada agenda kebajikan lebih dekat dengan kehidupan rakyat termasuk bantuan membaiki rumah, menyelesaikan isu kemudahan asas serta memastikan golongan memerlukan terus mendapat perhatian.

Pada masa sama, katanya, usaha memelihara dan mempromosikan adat serta budaya akan berjalan seiring dengan pembangunan ekonomi supaya Seri Menanti terus dikenali sebagai pusat warisan Melayu yang berkembang maju.

Beliau turut mengakui masih terdapat segelintir pengundi yang bertanya mengenai situasi kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tetapi parti-parti yang sama bertanding sesama sendiri pada PRN.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan keadaan itu merupakan sebahagian daripada dinamika politik semasa, manakala pilihan raya negeri perlu dilihat sebagai medan persaingan idea, dasar dan kemampuan setiap calon menawarkan penyelesaian terbaik kepada rakyat.

“Yang paling penting ialah siapa yang mampu membawa pembangunan dan menjaga kebajikan masyarakat. Pada akhirnya, rakyat akan membuat penilaian berdasarkan tawaran serta rekod perkhidmatan yang dibawa oleh setiap calon,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast