SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) mendakwa naratif “Penyatuan Ummah” yang dibawa Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan bertujuan menyatukan rakyat, sebaliknya berpotensi mencetuskan ketegangan antara kaum.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, PH tidak menolak konsep perpaduan Melayu dan Islam, namun menegaskan ia tidak boleh diasaskan kepada sentimen yang meletakkan kaum lain sebagai ancaman.
Menurut beliau, pendekatan sedemikian hanya akan memecah-belahkan masyarakat majmuk serta menggugat keharmonian yang selama ini menjadi asas kekuatan negara.
“Kita melihat naratif ini sebagai satu ancaman, bukan sekadar kepada pilihan raya tetapi juga kepada usaha membina perpaduan rakyat Malaysia.
“Perpaduan memang baik, tetapi persoalannya bersatu untuk tujuan apa?
“Kalau perpaduan itu dibina atas persepsi kononnya wujud ancaman daripada kaum lain, ia hanya akan menimbulkan kebencian, perpecahan dan ketegangan kaum,” katanya dalam sidang media bersama Pengarah Komunikasi PH merangkap Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil di sini, hari ini.
Khalid berkata, PH mahu semua kaum bersatu atas asas membangunkan negara dan melakukan kebaikan, bukannya menyemarakkan politik kebencian.
“PH sama sekali tidak menentang perpaduan Melayu-Islam, malah mengalu-alukan perpaduan semua kaum termasuk Melayu, Cina dan India, asalkan ia dibina atas asas yang positif dan inklusif,” katanya.

Sementara itu, Fahmi pula menyifatkan terdapat usaha pihak tertentu untuk menggambarkan seolah-olah hanya satu gabungan politik yang mempunyai hak mewakili orang Melayu dan Islam.
Tegasnya, persepsi sedemikian bukan sahaja tidak tepat, malah bercanggah dengan realiti kepelbagaian politik negara.
“Kalau ada pihak memberi gambaran hanya mereka sahaja mewakili Melayu Islam, habis itu Haji Khalid Samad bukan Melayu Islam? Saya bukan Melayu Islam?
“Politik yang terlalu eksklusif seperti ini tidak mencerminkan kemajmukan negara dan hanya akan menimbulkan bibit-bibit yang tidak baik dalam masyarakat,” katanya.
Fahmi berkata, PH akan memperhebat usaha menjelaskan kepada pengundi bahawa kerajaan pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun tidak pernah meminggirkan kepentingan orang Melayu dan Islam.
Menurutnya, rekod pentadbiran kerajaan negeri membuktikan sebaliknya apabila lebih banyak masjid dibina berbanding pentadbiran terdahulu, selain kutipan zakat meningkat hampir dua setengah kali ganda.
“Ini membuktikan pentadbiran PH dan Kerajaan Perpaduan tidak pernah mengetepikan kepentingan Melayu Islam. Ketua kerajaan negeri sendiri ialah seorang Melayu Islam.
“Sokonglah Melayu Islam yang bernama Aminuddin Harun berdasarkan prestasi dan pencapaiannya, bukannya sentimen yang memecah-belahkan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















