Bahan Binaan JKR terkena OHL KTMB.

KUALA LUMPUR – Operasi perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang dan ETS mengalami gangguan hari ini susulan insiden di Batang Benar yang melibatkan kerja pembinaan jambatan oleh kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi projek wayleave.

KTMB dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden berlaku apabila struktur kayu dari tapak pembinaan terjatuh ke atas landasan sebelum menghempap sistem elektrik alat talian atas di antara laluan Batang Benar dan Labu.

Kejadian itu menyebabkan kerosakan pada sistem bekalan elektrik sekali gus menjejaskan operasi tren di laluan berkenaan.

Bahan Binaan yang terjatuh di atas landasan.Susulan insiden tersebut, perkhidmatan KTM Komuter dari Pulau Sebang ke KL Sentral ditamatkan di Stesen Seremban, manakala perjalanan ke arah KL Sentral dan Batu Caves hanya bermula dari Stesen Bangi.

KTMB juga menyediakan tiga perkhidmatan bas perantara yang meliputi laluan Seremban, Tiroi, Batang Benar, Labu dan Bangi bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan.

Perkhidmatan KTM Komuter di antara Stesen Bangi dan Stesen Seremban pula digantung sehingga dimaklumkan kelak, manakala penumpang dinasihatkan menggunakan pengangkutan alternatif.

Bagi perkhidmatan ETS yang turut terjejas, sebanyak tujuh bas perantara disediakan di Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang dan Seremban bagi memudahkan penumpang meneruskan perjalanan.

KTMB menyediakan bas pengantara untuk para penumpang yang terjejas.

KTMB memaklumkan, penumpang ETS yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan dari stesen permulaan layak menerima pemulangan tambang penuh.

Mengulas mengenai insiden tersebut, KTMB berkata, walaupun permit masuk tapak telah dikeluarkan oleh KTMB, kontraktor berkenaan didapati tidak mematuhi syarat dan prosedur keselamatan yang telah ditetapkan.

Ia termasuk tidak mengemukakan jadual pelaksanaan kerja yang lengkap serta tidak membuat pemakluman khusus kepada KTMB mengenai waktu sebenar kerja dijalankan pada hari kejadian.

Mengikut prosedur operasi standard permit masuk tapak, tiga wakil teknikal KTMB daripada Jurutera Wilayah, Semboyan dan Komunikasi serta Elektrifikasi akan ditempatkan di lokasi bagi tujuan pemantauan setelah kelulusan penuh diperoleh dan dokumentasi lengkap diterima

Tambahnya, pasukan teknikal KTMB sedang giat menjalankan kerja pembaikan bagi memulihkan sistem elektrik alat talian atas supaya perkhidmatan tren dapat kembali beroperasi secepat mungkin.

KTMB yang memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang akibat insiden berkenaan menegaskan keselamatan penumpang serta operasi tren kekal menjadi keutamaan syarikat.

Orang ramai disaran mendapatkan maklumat terkini mengenai status perkhidmatan menerusi saluran media sosial rasmi KTMB atau berhubung dengan kakitangan stesen yang bertugas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast