Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Siasatan berhubung dakwaan salah laku, gangguan seksual dan buli di tempat kerja yang membabitkan seorang pengarah hospital di Sabah telah selesai.

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) berkata, siasatan itu dijalankan oleh jawatankuasa khas yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menyiasat dakwaan yang tular di media sosial.

Katanya, kini syor-syor hasil siasatan sedang dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan serta undang-undang yang berkuat kuasa.

“JKNS ingin menegaskan bahawa jabatan ini tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, khususnya serangan seksual, gangguan seksual dan buli di tempat kerja,” katanya dalam kenyataan, hari ini

JKNS berkata perbuatan sedemikian bukan sahaja bertentangan dengan nilai integriti dan etika dalam perkhidmatan awam, malah menjejaskan kesejahteraan fizikal dan mental petugas kesihatan.

Menurut kenyataan itu, jabatan berkenaan kekal komited memastikan semua kakitangan dapat menjalankan tugas dalam persekitaran kerja yang selamat, saling menghormati dan kondusif bagi memelihara integriti organisasi serta menjaga kebajikan warga kerja.

JKNS turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak kerana memberi ruang kepada proses pentadbiran dilaksanakan secara teratur, adil dan telus selaras dengan peraturan yang berkaitan.

Terdahulu, tular satu rakaman video Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan, Chin Tek Ming yang menggesa dakwaan gangguan seksual dan buli dikaitkan dengan kakitangan sebuah hospital di Kota Kinabalu disiasat secara menyeluruh serta diberikan perhatian segera oleh pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, memaklumkan hari ini, dakwaan yang tular itu berlaku pada Oktober tahun lalu.

Katanya, polis sudah menerima laporan berhubung dakwaan itu pada Januari lalu dan siasatan sudah dijalankan sebelum isu berkenaan tular.

“Kes ini hanya tular semalam, namun siasatan polis sudah pun dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya seperti yang dilaporkan media. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast