PORT DICKSON – Di sebalik gaya bersahaja, gemar berjenaka dan sering menceriakan suasana ketika turun padang, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, A Acuthan sebenarnya membawa cita-cita lebih besar.
Beliau mahu melihat Port Dickson muncul sebagai destinasi pelancongan lebih gah tanpa meminggirkan kebajikan penduduk tempatan.
Lebih dikenali dengan panggilan Acu – calon MIC itu dilihat mempunyai pendekatan tersendiri – mendekati pengundi.
Bagi mereka yang mengikutinya sepanjang tempoh berkempen, ungkapan ‘Acu tetap Acu’ bukan sekadar slogan sebaliknya mencerminkan perwatakan beliau yang sentiasa ceria, mudah didekati dan tidak kekok bergaul dengan masyarakat pelbagai lapisan.
Di sebalik personaliti santainya, Acuthan serius mahu membawa perubahan kepada Sri Tanjung dengan memanfaatkan kekuatan semula jadi Port Dickson sebagai bandar pelancongan yang terkenal di negara ini.
Menurutnya, pembangunan sektor pelancongan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada hotel atau kawasan peranginan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peluang ekonomi yang lebih luas kepada masyarakat setempat.
Katanya, limpahan pembangunan itu perlu dapat dirasai oleh peniaga kecil, pengusaha makanan, usahawan tempatan, belia serta komuniti nelayan yang telah sekian lama menjadi sebahagian daripada identiti Port Dickson.
“Saya mahu melihat Port Dickson menjadi lebih hebat daripada apa yang ada hari ini. Kita sudah mempunyai pantai yang cantik dan lokasi yang menjadi tumpuan pelancong.
“Tetapi pembangunan itu mesti berpaksikan rakyat. Penduduk tempatan juga perlu menikmati hasil daripada sektor pelancongan, bukan sekadar melihat orang luar datang berniaga,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Beliau yang juga seorang ahli perniagaan berkata, kehidupannya sejak kecil banyak dipengaruhi komuniti pesisir pantai kerana bapanya merupakan seorang nelayan selain menjalankan perniagaan.
Justeru beliau memahami denyut nadi kehidupan masyarakat yang bergantung kepada laut, termasuk cabaran dihadapi nelayan, peniaga kecil serta keluarga bergantung kepada aktiviti ekonomi setempat.
“Saya membesar di sini. Laut bukan sesuatu yang asing dalam hidup saya. Ayah saya seorang nelayan dan juga berniaga sebab itu saya faham bagaimana kehidupan masyarakat di Port Dickson.
“Saya tahu apa potensi yang masih boleh dibangunkan dan bagaimana pembangunan itu boleh memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.
Sebagai anak jati Sri Tanjung, Achutan berkata, hubungan yang telah lama terjalin dengan penduduk menjadi antara kekuatan utama beliau sepanjang berkempen.
Menurutnya, beliau bukan calon yang datang hanya ketika musim pilihan raya, sebaliknya sudah lama mengenali masyarakat di kawasan berkenaan.

“Saya anak jati Sri Tanjung. Orang di sini kenal saya dan saya juga kenal mereka. Hampir setiap kawasan, peniaga dan penduduk saya kenal.
“Itulah kelebihan saya. Apabila turun padang, saya tidak rasa kekok kerana saya membesar bersama masyarakat di sini,” katanya lagi.
Mengulas kemenangan MIC di empat kerusi pada Pilihan Raya Negeri Johor baru-baru ini, Achutan berkata, keputusan itu menjadi suntikan semangat kepada jentera BN di Negeri Sembilan untuk bekerja lebih keras sehingga hari pengundian.
Beliau percaya momentum tersebut mampu diterjemahkan kepada sokongan lebih besar sekiranya pengundi terus memberikan kepercayaan kepada BN.
“Di Johor kita nampak angin kemenangan. Saya berharap di Negeri Sembilan pula akan lahir satu gelombang yang membawa kemenangan kepada BN.
“Setiap undi sangat penting. Saya harap semua anak-anak muda yang berada di luar akan balik mengundi untuk menentukan masa depan Sri Tanjung dan Negeri Sembilan,” jelasnya.
Sepanjang tempoh berkempen, Acutan turut menerima pelbagai aduan daripada penduduk, terutama membabitkan isu kebajikan.
Menurutnya, masih terdapat penduduk yang mendakwa layak menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun gagal mendapat bantuan tersebut.
Selain itu, katanya, terdapat juga aduan berkaitan urusan dokumentasi bagi permohonan bantuan persekolahan yang menurut penduduk perlu dipermudahkan.
“Saya dapati dua perkara yang paling banyak dibangkitkan rakyat ialah isu bantuan JKM dan beberapa urusan berkaitan bantuan pendidikan.
“Perkara seperti ini mungkin nampak kecil, tetapi bagi rakyat yang memerlukan, ia sangat besar. Sebab itu saya mahu memastikan suara mereka sentiasa didengar,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya diberikan mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, aspek kebajikan akan menjadi antara keutamaan selain memastikan pembangunan ekonomi dan sektor pelancongan bergerak seiring demi meningkatkan taraf hidup penduduk.
“Matlamat saya mudah. Saya mahu melihat Sri Tanjung dan Port Dickson terus maju, tetapi kemajuan itu mestilah dirasai oleh semua lapisan masyarakat.
“Kalau rakyat sejahtera, barulah pembangunan itu benar-benar berjaya,” katanya. -MalaysiaGazette
















