SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak akan terus memperkemas strategi kempen dengan memberi tumpuan kepada pengundi yang masih belum membuat keputusan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau berkata, pendekatan kempen rumah ke rumah yang dilaksanakan sejak awal kempen membolehkan pihaknya menilai penerimaan pengundi terhadap khidmat dan pendekatan yang dibawanya.
“Strateginya masih sama, rumah ke rumah. Saya akan cari pengundi-pengundi kelabu dan hitam saya untuk masuk. Nanti insya-Allah, separuh masa kedua kita tengok macam mana strategi yang kita nak main.
“Daripada awal lagi, fasa pertama ini kita nak lihat bagaimana penerimaan orang kepada saya setelah kita pergi dan beri khidmat. Pada awalnya kita tulis culaan kelabu dan hitam tetapi alhamdulillah apabila saya pergi, tidaklah hitam, kelabu pun tidak. Boleh jadi putih,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan walkabout di Kampung Pulau, Labu hari ini.
Ahmad Faez berkata, setiap kunjungan dari rumah ke rumah turut direkodkan bagi membolehkan strategi seterusnya dirangka berdasarkan maklum balas dan penerimaan pengundi.
Dalam pada itu, beliau turut menerima nasihat daripada seorang pesara tentera agar terus mengekalkan momentum sekiranya diberi mandat oleh rakyat.
“Dia beritahu bahawa untuk menjadi pemimpin ini bukan mudah. Apa yang saya sudah buat selama ini baik tetapi bagaimana nak kekalkan momentum itu sekiranya diberi mandat oleh rakyat.
“Insya-Allah saya akan terima dan buat apa sahaja nasihat yang baik diberikan. Saya tidak ada masalah kalau ada apa-apa kritikan,” katanya. – MalaysiaGazette
















