Anthony Loke

JEMPOL – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyifatkan dakwaan beliau sebagai calon Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya Datuk Seri Aminuddin Harun tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai ‘cakap-cakap jahat’ pihak lawan.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan menegaskan, Pakatan Harapan (PH) hanya mempunyai seorang calon bagi jawatan itu iaitu Aminuddin yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi.

Anthony berkata, kedudukan Pengerusi PH Negeri Sembilan itu sebagai calon Menteri Besar tidak pernah berubah walaupun beliau berdepan saingan di kerusi itu yang dianggap kubu kuat Barisan Nasional (BN).

“Calon Menteri Besar (MB) kita seorang saja, Tok Min dan itu (dakwaan jika PH kalah di Linggi) adalah cakap-cakap jahat daripada pihak lawan.

“Calon MB amat jelas dalam undang undang tubuh Negeri, seorang ADUN Melayu yang beragama Islam (dan) saya tidak memenuhi syarat kelayakan tersebut,” katanya yang juga calon DUN Chennah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja projek kerja pemulihan, naik taraf landasan keretapi dan kerja-kerja berkaitan antara Gemas hingga Mentakab, Pahang di Stesen Keretapi Bahau di sini hari ini.


Anthony menyaksikan simbolik penyerahan kunci selepas membuat lawatan kerja projek kerja pemulihan, naik taraf landasan keretapi dan kerja-kerja berkaitan antara Gemas hingga Mentakab, Pahang di Stesen Keretapi Bahau, Negeri Sembilan hari ini.

Semalam Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan siapakah calon Menteri Besar PH sekiranya Aminuddin gagal memenangi kerusi DUN Linggi.

Beliau mencabar PH menamakan calon Menteri Besar sekiranya Aminuddin tewas di DUN Linggi, selain membangkitkan persoalan sama ada Anthony akan dipilih menerajui pentadbiran negeri. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast