JOHOR BAHRU – Hospital-hospital di Johor kekurangan lebih 2,000 tenaga kerja dan keadaan ini sudah mencapai tahap kritikal.
Lantaran itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memohon pertimbangan Kementerian Kesihatan (KKM) memberikan keutamaan dan perhatian segera terhadap isu kekurangan petugas kesihatan di hospital-hospital negeri ini amat merisaukan.
Kekurangan ini melibatkan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Pasir Gudang (HPG).
Menurut beliau, kekurangan tenaga kerja ini menyebabkan berlaku bebanan tugas melampau dihadapi petugas sedia ada demi menyelamatkan nyawa pesakit.
Dan, akhirnya ramai dalam kalangan mereka terpaksa meletak jawatan akibat bebanan yang dipikul, kata beliau.
“Perkara yang benar-benar merisaukan saya ialah kekurangan petugas kesihatan di HSA. Saya bimbang beban yang mereka pikul hari ini sudah terlalu berat, sedangkan HSA merupakan antara hospital rujukan utama yang menerima ribuan pesakit dari seluruh Johor setiap hari.
“Justeru, saya dengan penuh rendah hati memohon pertimbangan dan perhatian segera daripada KKM supaya isu kekurangan petugas di HSA diberikan keutamaan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Onn Hafiz mengadakan lawatan ke HSA bagi melihat sendiri keadaan semasa hospital serta mendengar taklimat mengenai pelbagai usaha penambahbaikan yang sedang dilaksanakan demi memastikan perkhidmatan kesihatan rakyat Johor terus berjalan dengan baik.
Menurut beliau, antara usaha yang sedang dilaksanakan di HSA adalah proses decanting Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT) ke Pusat Bersalin dan Labor & Delivery (L&D) bermula awal Ogos ini bagi membolehkan kerja-kerja naik taraf sistem elektrik dijalankan dengan selamat.
“Pada masa yang sama, projek menaik taraf bekalan utama elektrik, sistem elektrikal dan mekanikal hospital bernilai hampir RM159 juta serta beberapa penambahbaikan lain turut giat dilaksanakan demi memastikan HSA terus memberikan perkhidmatan yang lebih selamat dan berkualiti kepada Bangsa Johor,” katanya. – MalaysiaGazette
















