LENGGENG – Kekalahan Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah bukti perpecahan undi antara blok itu dan Perikatan Nasional (PN) yang memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).
Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perpecahan undi penyokong BN dan PN menyebabkan PH muncul sebagai pemenang, walaupun jumlah sokongan terhadap kedua-dua gabungan itu lebih besar.
“Saya nak cerita pengalaman peribadi saya kenapa perlu ada kerjasama antara BN dan PN.
“Saya bertanding di Sungai Buloh pada PRU15 untuk membuktikan BN masih mampu menang di kawasan bandar,” katanya ketika berkempen bagi calon BN N.09 Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin di Dataran Lenggeng, di sini, hari ini.
Khairy berkata, sebelum beliau bertanding, BN tewas di Sungai Buloh dengan majoriti kira-kira 26,000 undi pada pilihan raya sebelumnya.
Bagaimanapun, katanya, pada PRU15 beliau berjaya mengecilkan jurang kekalahan kepada sekitar 2,000 undi, sekali gus membuktikan sokongan terhadap BN semakin meningkat.
“Saya kalah bukan dengan majoriti besar. Saya kalah lebih kurang 2,000 undi sahaja.
“Calon PH memperoleh kira-kira 50,000 undi, manakala saya mendapat sekitar 48,000 undi,” katanya.
Namun, menurut Khairy, perkara yang lebih penting untuk dinilai ialah jumlah undi yang diperoleh calon Pas yang mewakili PN.
Katanya, walaupun calon Pas tidak menjalankan kempen secara agresif, parti itu masih berjaya memperoleh kira-kira 29,000 undi.
“Calon Pas tidak berkempen secara besar-besaran, tetapi masih mendapat hampir 29,000 undi.
“Di sinilah saya hendak buktikan bahawa apabila undi kita berpecah, yang untung ialah PH,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















