Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), Mejar (K) Datuk Mohammad Ubaidillah Enam @ Iman bercakap dalam sidang media pada Majlis Penghargaan Sekuriti Swasta malam tadi.

KUALA LUMPUR – Pengawal keselamatan yang terlibat dalam insiden cubaan samun van keselamatan baru-baru ini telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika berdepan risiko.

Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), Mejar (K) Datuk Mohammad Ubaidillah Enam @ Iman berkata, keutamaaan dalam situasi itu adalah memastikan aset yang dibawa mereka berada dalam keadaan selamat sebelum tindakan lain diambil.

“Sebenarnya pengawal terbabit telah menjalankan SOP yang betul dimana dia (pengawal) telah mencampakkan wanga berkenaan ke dalam van keselamatan.

“Dia juga memastikan aset yang sepatutnya dijaga berada dalam keadaan selamat dan kemudian sanggup meletakkan dirinya dalam keadaan berisiko untuk melindungan aset (yang diamanahkan),” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penghargaan Sekuriti Swasta di sini malam tadi.

Tegasnya lagi, industri keselamatan swasta sentiasa menitikberatkan pematuhan SOP, latihan berkala serta peningkatan kompetensi anggota bagi memastikan tahap kesiapsiagaan kekal tinggi sepanjang penugasan dilaksanakan.

Pada 20 Julai lalu, seorang lelaki cuba merompak van keselamatan dan bertindak nekad merampas selaras senjata api milik pengawal keselamatan sebelum melarikan diri dengan motosikal dalam kejadian di hadapan sebuah bank di Bukit Tinggi, Klang.

Susulan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu berkata, suspek berusia lingkungan 20-an itu berjaya ditahan dalam di Shah Alam pukul 11 pagi pada Khamis.

Berikutan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast