Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media selepas majlis penyerahan kunci Blok C di SK Bukit Pantai, Bangsar, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 24 Julai 2026.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menyiasat akaun media sosial tular yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyemak status kes berkenaan.

“Perkara itu masih belum boleh disahkan pada pada waktu ini kerana saya belum mempunyai maklumat yang mencukupi untuk menentukan sama ada perkara itu benar atau tidak.

“Saya akan menyemak status perkara itu dengan PDRM dan MCMC. Lazimnya, apabila aduan dibuat, individu yang dipercayai terbabit akan dipanggil untuk disiasat,”.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Serahan Projek SK Bukit Pantai di sini, hari ini.

Jelas beliau, MCMC selaku agensi teknikal akan mendapatkan maklumat daripada platform media sosial terbabit serta menjalankan analisis forensik bagi mengenal pasti sama ada sesuatu peranti digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan pada tarikh yang dikenal pasti.

Semalam, tular di media sosial satu hantaran daripada akaun Facebook yang didakwa memuat naik kandungan berunsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

Individu yang mendakwa identitinya digunakan pada akaun berkenaan kemudian membuat laporan polis bagi menafikan penglibatan dalam menghasilkan atau menyebarkan hantaran tersebut.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, sebuah sekolah rendah baharu, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pantai bakal dibangunkan bagi menangani isu kepadatan murid di kawasan Lembah Pantai.

Fahmi berkata, projek itu akan dibina di tapak lama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai yang akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan sekolah baharu berkenaan.

Menurutnya, kerja-kerja perobohan dijangka bermula dalam tempoh beberapa bulan akan datang, dengan pembinaan sekurang-kurangnya 36 bilik darjah.

“Kita mahu pastikan suasana di sekolah ini selesa terutama untuk anak-anak, jadi perancangan bangunan baharu SK Seri Pantai akan disesuaikan dengan keperluan semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata beberapa sekolah lama di kawasan berkenaan turut perlu diberi perhatian memandangkan sebahagian bangunannya berusia antara 40 hingga 60 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast