PORT DICKSON – Penduduk khususnya di pekan Linggi di sini, merayu pihak berwajib menyelesaikan masalah banjir yang sering dihadapi mereka setiap kali hujan lebat yang berterusan.
Menurut mereka, masalah banjir itu bukan isu baharu, sebaliknya sudah berlanjutan sejak sekian lama tanpa penyelesaian muktamad sehingga kini.
Seorang penduduk, Nir Izzaty Syahirah Noorzaime, 29, berkata, dia yang merupakan anak jati di pekan Linggi sudah beberapa kali berdepan bencana banjir dengan kejadian terakhir tahun lalu.

Katanya, setiap kali bencana itu berlaku, dia dan keluarga terpaksa menanggung kerugian besar apabila perabot, perkakasan rumah dan barangan elektrik rosak serta musnah.
“Saya juga seorang peniaga restoran di pekan Linggi, jadi kerugian yang terpaksa saya tanggung berganda sebab kedai saya juga ditenggelami banjir dan peralatan perniagaan turut rosak.
“Sekarang kami penduduk dan peniaga di pekan Linggi ini hidup dalam kebimbangan setiap kali hujan lebat dan berterusan, kerana risau bencana banjir akan berulang,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Amirul Mohd Uzir, 31, turut merayu pihak berwajib khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi baharu yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kelak memberi perhatian serius terhadap masalah banjir itu.
Menurutnya, perlu ada perancangan khusus bagi mengatasi masalah itu sama ada menaik taraf sistem perparitan atau memperdalamkan lagi Sungai Linggi bagi mengelakkan limpahan air mendadak setiap kali hujan lebat.

Jelasnya, lebih memburukkan keadaan juga apabila berlaku banjir termenung yang mengambil masa beberapa hari untuk surut sehingga menjejaskan aktiviti harian penduduk selain mengundang risiko kesihatan.
“Penduduk juga berharap bantuan yang setimpal dan segera dapat disalurkan setiap kali berlaku bencana banjir kerana kami menanggung kerugian yang besar dan untuk memulakan kehidupan semula juga memerlukan kos tinggi,” katanya.
Sementara itu, seorang warga emas yang mahu dikenali sebagai Ah Chai, 66, turut meluahkan rasa kecewa kerana masalah banjir di pekan Linggi masih gagal ditangani sehingga kini.

Dia yang mengusahakan kedai menjahit pakaian di pekan Linggi berkata, dia menanggung kerugian yang besar apabila mesin jahit dan material kain di kedainya beberapa kali musnah akibat bencana banjir yang berulang.
“Paling teruk air banjir pernah cecah hingga paras pinggang, habis semua mesin jahit dan kain-kain dalam kedai saya rosak.
“Bantuan kerajaan pula tak memadai untuk menampung kerugian yang saya tanggung, jadi saya merayu sesiapa pun yang bakal jadi ADUN Linggi selepas ini, pastikan masalah banjir ini selesai,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, isu banjir di pekan Linggi itu sudah berada dalam perhatian kerajaan negeri dan tindakan kini juga sedang diambil bagi mengatasi masalah tersebut daripada terus berulang.

Beliau yang juga calon Pakatan Harapan (PH) di DUN Linggi berkata, dua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di kawasan berkenaan telah diluluskan dan kini sedang dalam pelaksanaan hasil kerjasama kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Jelasnya, projek itu bagaimanapun mengambil masa dan apabila siap kelak, bakal mengatasi masalah banjir yang sering menjadi rungutan penduduk DUN Linggi. – MalaysiaGazette
















