Anwar merasmikan Majlis Peluncuran Indian Muslim Transformation Framework (IMTF2030) anjuran Pertubuhan Kebangsaan India Muslim Malaysia (MUKMIN) di PICCA Convention Centre @ Butterworth Arena, Pulau Pinang malam ini.

BUTTERWORTH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kementerian dan agensi berkaitan menyelesaikan permohonan pengambilan pekerja asing bagi sektor terpilih termasuk restoran dalam tempoh maksimum sebulan.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh membuka semula pengambilan pekerja asing secara menyeluruh semata-mata bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja namun mengakui terdapat keperluan mendesak untuk mengisi kekosongan di beberapa sektor tertentu.

“Mulai Isnin, saya beri tempoh kepada kementerian dan jabatan berkaitan untuk menyelesaikan perkara ini sebagai keutamaan dalam tempoh maksimum satu bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Indian Muslim Transformation Framework (IMTF2030) anjuran Pertubuhan Kebangsaan India Muslim Malaysia (MUKMIN) di PICCA Convention Centre @ Butterworth Arena di sini malam ini.

Anwar.

Anwar berkata, perkara itu antara permintaan yang dikemukakan pengusaha restoran kepada kerajaan dan akan diberi perhatian sewajarnya.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan RM2 juta kepada MUKMIN bagi menyokong pelaksanaan inisiatif di bawah kerangka transformasi berkenaan.

Dalam pada itu, Anwar menyifatkan IMTF2030 sebagai satu kerangka penting bukan sahaja kepada masyarakat India Muslim malah turut menyumbang kepada agenda pembangunan negara.

Beliau berkata, kejayaan sesebuah negara demokrasi bukan hanya bergantung kepada dasar kerajaan sebaliknya memerlukan penyertaan aktif rakyat, kesedaran serta komitmen semua pihak untuk bersama-sama menjayakan perubahan.

“Saya bersama rakan-rakan hadir untuk meraikan kejayaan MUKMIN khususnya dalam mengemukakan Kerangka Transformasi yang saya percaya penting kepada negara dan masyarakat India Muslim.

“Untuk menjayakan sesebuah negara, ia bukan hanya bergantung kepada perancangan kerajaan tetapi memerlukan penyertaan rakyat, pencerahan dan kesedaran mereka selain menolak budaya kebencian dan politik perkauman yang boleh menggugat perpaduan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan sentiasa bersedia mendengar pandangan semua pihak dan melakukan penambahbaikan bagi memastikan tiada mana-mana kelompok masyarakat tercicir daripada arus pembangunan negara.

“Masyarakat India Muslim mempunyai sejarah dan sumbangan kepada pembangunan negara meskipun merupakan golongan minoriti, justeru mereka perlu terus memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam usaha membangunkan Malaysia berteraskan nilai MADANI,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast