KUALA LUMPUR – Parti Wawasan Negara (Wawasan) menyifatkan pertaruhannya di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan sebagai batu loncatan penting untuk menguji kekuatan serta formula kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ketua Penerangannya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, parti itu optimis mendepani cabaran PRN Negeri Sembilan kerana menampilkan calon-calon berwibawa dan mempunyai reputasi kuat di peringkat akar umbi.
Menurutnya, majoriti ahli parti itu merupakan bekas ahli parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan sedang bekerja keras memastikan kemenangan di kesemua empat kerusi berkenaan.
“Antara calon berwibawa yang kami tampilkan ialah di DUN Sikamat iaitu Datuk Razali Abu Samah yang merupakan bekas Pemangku Ketua Polis Melaka.
“Beliau merupakan anak jati Negeri Sembilan yang sudah lama berkhidmat serta disenangi masyarakat tempatan,” katanya ketika menerusi program Skop MG terbitan MalaysiaGazette bersama penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Mohamad Tawfik Yaakub.

Wan Ahmad Fayshal berkata, dinamika kempen di lapangan menunjukkan keserasian yang tinggi antara jentera Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan.
“Semasa saya berkempen bersama-sama Razali, jentera BN dan PN nampak sudah serasi, boleh makan bersama dan berkempen bersama-sama.
“Siapa yang mampu ‘melembutkan’ keadaan di lapangan? Peranan itu dimainkan oleh Presiden Wawasan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Sebagai bekas pimpinan tertinggi UMNO, Hamzah dikatakan mempunyai kemahiran dan kemampuan untuk melunakkan pemimpin serta jentera UMNO kerana hubungan persahabatan yang lama.
“Apabila PAS berunding dengan UMNO, kadangkala ada kesukaran, namun apabila Datuk Seri Hamzah menjadi orang tengah, urusan menjadi lebih mudah dan lancar,” dakwanya.
Tambahnya lagi, walaupun model kerjasama di Johor sebelum ini tidak mencapai hasil yang dihajati, namun usaha PN dan Pas telah membantu kemenangan BN di negeri tersebut.
“Sasaran utama gabungan ini adalah untuk mereplikasikan formula di Negeri Sembilan ke Melaka dan seterusnya menghadapi PRU16 bagi menguasai Kerajaan Persekutuan.
“Kami dah kira dan congak, jika PN dan BN bersama di Semenanjung dan ditambah pula dengan sokongan di Sabah, Insya Allah kita mampu melepasi garisan kemenangan dengan mudah,” katanya lagi.
Malah, Wan Ahmad Fayshal meramalkan, persefahaman di Negeri Sembilan juga membantu BN untuk menjadi kerajaan negeri.
“Macam saya kata tadi, congak untung rugi politik Negeri Sembilan ni orang UMNO BN pun tahu. Mereka nak jadi kerajaan dan kita pun dah beritahu pada seluruh rakyat Malaysia dan pengundi Negeri Sembilan yang akan memimpin Negeri Sembilan ini adalah Barisan Nasional.
“Menteri Besar adalah daripada Barisan Nasional. Untuk mereka mencapai kejayaan di Negeri Sembilan, mereka perlukan undi daripada ahli-ahli penyokong Perikatan Nasional di pelbagai kerusi,” katanya lagi.
Wan Ahmad Fayshal turut mendedahkan, PN tidak mempunyai apa-apa permintaan dalam kerjasama bersama BN.
“Kami tak minta banyak pun, tak ada kami kata nak jadi MB pun, tak ada kami minta Exco pun, tak ada.
“Benda tu tak dibincang langsung. Kita hanya mahu menang, menyumbang kemenangan untuk BN jadi sebuah kerajaan
“Jadi Pas dan Wawasan kita bersedia berkorban,” ujarnya sambil menyifatkan kedua-duanya tidak seperti Bersatu yang bertanding di semua kerusi untuk memecahkan undi Melayu.
Jelasnya, PN tidak nampak keputusan Bersatu itu sebagai pragmatik kerana mereka mempunyai matlamat lebih besar.
BN dan PN memeterai persefahaman untuk menang di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan pada PRN kali ini.
BN tidak bertanding di semua kerusi sebaliknya hanya meletakkan calon di 25 kerusi dan PN meletakkan 11 calon. -MalaysiaGazette
















