JEMPOL – Projek menaik taraf dan pemulihan landasan kereta api Gemas- Mentakab bernilai RM41.7 juta yang tertangguh lebih tujuh tahun lalu akhirnya siap, sekali gus memperkukuh jaringan rel antara Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penyiapan Pakej A itu melengkapkan satu lagi komponen penting dalam usaha kerajaan menaik taraf infrastruktur rel di laluan Pantai Timur.
“Dari perspektif pembangunan wilayah, projek ini turut berpotensi meningkatkan keterhubungan antara Gemas, Negeri Sembilan dan Mentakab, Pahang serta kawasan-kawasan di sekitarnya.
“Ketersambungan rel yang lebih baik dapat menyokong pergerakan rakyat dan barangan, merangsang aktiviti ekonomi setempat serta menyumbang kepada pembangunan sektor perdagangan, pelancongan dan industri di sepanjang koridor berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Penyiapan Projek Rehabilitation, Upgrading of Track and Associated Works Between Gemas, Negeri Sembilan to Mentakab Railway Station, Pahang – Package A (Tender Semula) di Stesen Keretapi Bahau, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, projek berkenaan pada asalnya dimulakan pada Februari 2016 dan dijadual siap pada 20 Februari 2019, namun gagal disempurnakan kontraktor asal
sebelum kontraknya ditamatkan.
“Kejayaan menyiapkan projek ini membuktikan melalui perancangan yang rapi, komitmen yang tinggi serta kerjasama erat antara kerajaan, agensi pelaksana, kontraktor dan semua pihak berkepentingan, cabaran yang dihadapi dapat diatasi.
“Projek ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menaik taraf jajaran kereta api Pantai Timur yang menghubungkan Gemas, Negeri Sembilan hingga ke Tumpat, Kelantan,” katanya.
Tambahnya, jajaran itu telah dibahagikan kepada tiga pakej utama iaitu Pakej A, melibatkan jajaran dari Gemas ke Mentakab, Pakej B (Mentakab- Gua Musang dan Pakej C (Gua Musang-Tumpat)
“Sehingga kini, Projek Pakej A dan Pakej B telah berjaya disiapkan sepenuhnya, manakala Projek Pakej C masih
dalam peringkat pelaksanaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















