Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

PETALING JAYA – Perdana Menteri menafikan dakwaan kerajaan memotong peruntukan kepada rakyat di kawasan Parlimen tertentu sebaliknya menegaskan dana pembangunan tetap disalurkan mengikut keperluan.

Beliau berkata, kerajaan tidak menghentikan peruntukan bagi kemudahan rakyat seperti sekolah, rumah ibadat, sistem perparitan, hospital dan pejabat polis namun kaedah penyalurannya tidak lagi dibuat melalui ahli Parlimen.

“Ada yang bertanya kerana ahli Parlimen kita dua-dua ini (Ahli Parlimen Subang dan Petaling Jaya) tengah goyang. Dia goyang sikit, kadang-kadang goyang banyak.

“Jadi dia kata tidak ada peruntukan. Saya jawab, dalam perjanjian kita sebagai kerajaan, kalau kamu tidak sokong kerajaan, kamu kena buat CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat).

“Tak benar kalau kita kata kita potong peruntukan untuk penduduk Petaling Jaya dan Damansara.

“Tidak, dengar baik-baik. Saya tidak potong peruntukan kepada rakyat untuk masjid, kuil, kedai, parit dan sekolah, semua kita on. Yang kita tak bagi ialah melalui ahli Parlimen,” katanya ketika hadir pada program Generasi Muda, Suara Baharu di sini hari ini.

Anwar berkata, persoalan utama bukan mengenai pihak yang menerima atau menguruskan peruntukan sebaliknya memastikan projek yang dilaksanakan memberi manfaat kepada rakyat.

“Rakyat nak projek atau ahli Parlimen nak projek? Rakyat nak projek,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, peruntukan pembangunan masih tersedia bagi beberapa kawasan termasuk baki RM1.6 juta untuk Parlimen Subang dan RM3 juta bagi Parlimen Petaling Jaya.

Katanya, dana berkenaan akan digunakan untuk keperluan seperti sekolah kebangsaan, sekolah Cina, sekolah Tamil, rumah ibadat serta sistem perparitan menerusi proses yang ditetapkan.

“Jadi, tidak ada asas untuk mana-mana ahli politik kata wang tidak ada. Kita ada peruntukan tetapi ia diberikan kepada rakyat, sekolah dan projek yang diperlukan, bukan kepada mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, kerajaan memberi jaminan pelaksanaan projek mitigasi banjir di sekitar Petaling Jaya dan Damansara yang melibatkan peruntukan RM44.5 juta akan diteruskan menerusi kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor.

Menurut beliau, projek berkenaan dilaksanakan hasil komitmen bersama kedua-dua pihak bagi menangani isu banjir di kawasan terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast