Pengasas platform e-Dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar tiba di Mahkamah Sesyen Jenayah KL bagi perbicaraan kes membabitkan dana pelaburan Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad berjumlah RM8 juta, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 13 APRIL 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai bank memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, wang sebanyak RM20.3 juta milik Permodalan Nasional Berhad (PNB), dipindah masuk ke dalam akaun syarikat FashionValet Sdn. Bhd.

Penolong Pengurus Maybank, Cawangan Jalan Tun Razak, Shamsiah Musa, 55, berkata, dua transaksi pemindahan wang itu dilakukan pada 4 Jun 2018 dan 20 Disember 2018.

“Saya telah membuat semakan ke atas akaun bank PNB dan mendapati, wujud transaksi pemindahan daripada agensi itu pada 4 Jun 2018 dan 20 Disember 2028 dengan jumlah keseluruhan lebih kurang RM20,318,510.

“Untuk makluman, saya telah menyemak semua penyata akaun bagi setiap bulan untuk tahun 2018 dan saya sahkan hanya terdapat dua transaksi pemindahan wang dari akaun Malayan Banking Berhad milik PNB ke akaun Public Bank milik FashionValet Sdn Bhd,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari kedua perbicaraan kes pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar yang berdepan pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan PNB berjumlah RM8 juta.

Dirujuk dengan penyata akaun PNB, saksi pendakwaan kedua itu turut mengesahkan transaksi pemindahan wang RM11,953,509 pada 4 Jun 2018.

“Saya sahkan baki sebelum pemindahan sebanyak RM11,953,509 itu adalah RM16,698,619.55,” katanya.

Shamsiah berkata, terdapat transaksi pemindahan wang RM8,365,001 pada 20 Disember 2018 dan mengesahkan baki sebelum itu adalah RM31,195,181.82.

Berhubung maklumat atau nota yang menunjukkan alasan atau tujuan transaksi pemindahan wang RM11,953,509, Shamsiah berkata, beliau tidak dapat mengesahkan perkara tersebut.

Menurut saksi, ini kerana beliau tidak mempunyai akses kepada transaksi yang melebihi tempoh enam bulan dan semakan hanya boleh dibuat berdasarkan penyata bank yang tersedia.

Beliau berkata, bagi transaksi melibatkan jumlah yang besar, pihak Maybank Islamic akan membuat panggilan telefon kepada pemilik akaun bagi transaksi pemindahan wang melebihi RM20,000 yang dilakukan melalui kaunter sebagai tujuan pengesahan.

“Namun, bagi transaksi pemindahan wang yang dilakukan secara dalam talian, pihak Maybank Islamic tidak membuat sebarang pengesahan kerana akaun tersebut mempunyai authorised person sendiri.

“Bagi transaksi non-cash debit berjumlah RM11,953,509 ini, ia memerlukan pengesahan daripada pihak yang mengesahkannya bagi akaun Maybank atas penama PNB.

“Hanya selepas pengesahan tersebut diperoleh barulah pihak bank akan meneruskan urusan pemindahan wang berkenaan,” katanya yang turut mengesahkan terdapat 22 orang penandatangan bagi akaun milik PNB itu.

Disoal peguam Datuk M. Athimulan mengenai transaksi lebih RM20 juta itu, Shamsiah berkata, tiada pembekuan atau sekatan daripada pihak PNB, selain mengesahkan transaksi yang dilakukan adalah sah dan telus.

Peguam: Semasa pihak bank menerima dana daripada PNB, adakah PNB memberikan sebarang arahan supaya penggunaan wang tersebut dibekukan atau disekat?
Saksi: Tiada.

Peguam: Berdasarkan rekod bank, semua transaksi berhubung dana PNB itu telah diproses secara sah, telus dan mematuhi piawaian serta prosedur perbankan?
Saksi: Setuju.

Pegawai bank itu turut bersetuju bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan atau akses kepada terma perjanjian antara PNB dengan FashionValet.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung 17 Ogos ini.

Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 38, dan Fadzarudin, 37, didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah FashionValet Sdn Bhd melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat FashionValet kepada syarikat 30 Maple tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat FashionValet.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mereka juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu dengan niat bersama secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik FashionValet iaitu dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta, di lokasi dan tarikh sama.

Pasangan suami isteri itu dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebat dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast