KLUANG – Seorang jurujual maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan sebelum masuk parit di kilometer 7.1 Jalan Kluang-Jalan Nyior di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 10.42 malam melibatkan motosikal jenis Yamaha Y15.
“Siasatan awal mendapati mangsa, Mohamad Farid Ismail yang berusia 26 tahun menunggang dari arah Kluang menghala ke Chamek.
“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit yang berada di jalan sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut mangsa yang beralamat di Felda Bukit Besar, Taib Andak di Kulai mengalami kecederaan di bahagian badan dan kepala.
Katanya, mangsa dikejarkan ke Hospital Eche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini namun disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan.
Tambahnya, mayat dibawa ke Unit Forensik HEBHK untuk proses pengecaman dan bedah siasat serta pihaknya sedang mengesan saksi kes berkenaan.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette
















