Anwar merasmikan Majlis Kemuncak National Training Week (NTW) 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang di sini, hari ini.

PERMATANG PAUH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru golongan muda agar menjadi pemacu perpaduan dan kemajuan negara dengan meningkatkan kemahiran serta menjauhi fahaman yang menanam kebencian antara kaum.

Beliau berkata, generasi muda perlu memiliki tekad untuk mencapai prestasi lebih baik berbanding generasi terdahulu menerusi pendidikan, latihan dan pekerjaan yang berkualiti bagi meningkatkan taraf hidup.

Menurutnya, semangat itu menjadi asas penganjuran National Training Week (NTW) 2026 yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kemahiran (upskilling) dan melatih semula tenaga kerja (reskilling) supaya rakyat memperoleh peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik.

“Anak-anak muda mesti bangkit sebagai satu pasukan raksasa membawa perubahan dan mengangkat martabat semua rakyat negara ini.

“Kita tidak boleh terus terperangkap dengan pemikiran lapuk yang menanam kebencian antara satu sama lain kerana Malaysia tidak mungkin menjadi negara hebat dan maju jika masyarakat terus berpecah-belah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Kemuncak National Training Week (NTW) 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof; Pengerusi Lembaga Pengarah Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Datuk Rusli Jaafar; dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Dattuk Shamir Aziz.

Tambah Anwar, kerajaan komited memastikan setiap rakyat tanpa mengira kaum mendapat peluang yang adil dalam pendidikan, latihan kemahiran dan pembangunan ekonomi.

Beliau berkata, walaupun majoriti peserta program latihan terdiri daripada golongan Bumiputera, peluang turut diberikan kepada peserta daripada masyarakat Cina, India serta Sabah dan Sarawak yang layak dan memerlukan.

“Kita mahu mengangkat semua. Kalau ada kelemahan, kita perbaiki. Kalau ada kelompok yang ketinggalan, kita bantu. Ini Malaysia dan semua rakyat berhak mendapat peluang yang terbaik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast