Aksi Ahmad Nor Iman Aliff Rakib ketika menentang legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao. Foto: One Championship

KUALA LUMPUR – Kejayaan jaguh muay thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib merangkul gelaran juara dunia ONE Championship di Thailand semalam turut mendapat perhatian Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengucapkan tahniah atas kejayaan itu.

Perdana Menteri berkata, ia bukan sekadar mengharumkan nama negara, malah membuktikan bahawa anak muda Malaysia memiliki keupayaan, keberanian dan iltizam untuk bersaing serta mencipta kejayaan di pentas dunia.

“Tahniah Aliff Rakib atas kejayaan melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama muncul juara dunia ONE Championship.

“Semoga pencapaian bersejarah ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk terus mengejar cita-cita dengan tekad, disiplin dan semangat juang yang tinggi.

“Yakinlah, tiada yang mustahil apabila usaha disertai kesungguhan dan tawakal. Syabas, Aliff. Malaysia berbangga dengan kejayaan ini,” ujarnya menerusi hantaran dalam laman sosial Facebook.

Semalam, jaguh muay thai negara itu melakar sejarah tersendiri sebagai rakyat Malaysia pertama bergelar juara dunia ONE Championship selepas menumbangkan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao.

Anak muda berusia 22 tahun kelahiran Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan itu menewaskan saingannya menerusi kemenangan knockout (KO) untuk merangkul Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight.

Kejayaan penuh bermakna itu dilakar Aliff pada acara ONE: The Inner Circle 23 yang berlangsung di Stadium Lumpinee, Bangkok, sekali gus meletakkan namanya dalam sejarah sebagai atlet pertama negara menjulang kejuaraan dunia di pentas organisasi seni bela diri terbesar dunia.

Memetik laporan media, Aliff meluahkan rasa syukur kerana berjaya menunaikan janjinya untuk membawa pulang tali pinggang kejuaraan dunia buat Malaysia.

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang datang memberikan sokongan. Saya sudah berjanji untuk membawa pulang kejuaraan ini ke Malaysia dan hari ini saya berjaya menunaikannya,” ujarnya.

Selain merangkul kejuaraan dunia interim, Aliff turut membawa pulang bonus kemenangan berjumlah AS$50,000 (kira-kira RM204,570) yang diberikan ONE Championship. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast