Anwar Ibrahim

PERMATANG PAUH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat pengumuman berhubung perkembangan penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1) di Malaysia pada Ahad ini.

“Saya akan umumkan perkembangan F1 pada Ahad ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Perasmian Pembukaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Tahir Jalaluddin dan Pelancaran Program Nuqaba di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kementeriannya sedang mengadakan perbincangan serta menilai kemungkinan perlumbaan F1 kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Beliau berkata, langkah itu dibuat susulan maklumat awal yang menunjukkan Malaysia berpotensi menjadi tuan rumah perlumbaan gantian sekiranya Grand Prix Bahrain tidak dapat diteruskan.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan KBS telah menerima maklumat awal mengenai cadangan itu, manakala perkembangan lanjut akan diumumkan sebaik sahaja keputusan dimuktamadkan.

Malaysia kali terakhir menjadi tuan rumah Grand Prix F1 pada 2017. Bagaimanapun, SIC masih tersenarai sebagai litar yang memiliki lesen Gred 1 daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), sekali gus memenuhi syarat untuk menganjurkan perlumbaan F1.

Pada 2024, PETRONAS yang juga rakan kongsi pasukan Mercedes F1, pernah dikaitkan dengan laporan bahawa syarikat itu merancang membawa semula perlumbaan F1 ke Malaysia pada 2026, namun dakwaan itu telah dinafikan.

PETRONAS menjadi penaja utama pasukan Mercedes F1 sejak 2010. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast