Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
1. Anggaran KDNK sekali lagi melebihi jangkaan pasaran, dengan ekonomi Malaysia berkembang 5.8% pada Suku Kedua (S2) 2026, berbanding 5.4% pada Suku Pertama (S1) 2026. Bagi separuh pertama tahun ini, pertumbuhan mencatatkan 5.6%, berbanding 4.5% pada tempoh yang sama tahun lalu.

2. Alhamdulillah, bukan mudah untuk mencapai kejayaan sebegini, dengan gangguan di Selat Hormuz, yang mengakibatkan kejutan harga tenaga, aliran modal yang tidak menentu dan sistem perdagangan global yang semakin berpecah-belah.

3. Prestasi makroekonomi Malaysia yang cemerlang kini menarik perhatian ramai pihak – ini yang saya perhatikan sama ada dalam perbincangan akademik sebagai sebahagian daripada ‘fellowship’ saya di Universiti Oxford, atau dalam pelbagai persidangan antarabangsa.

Di Mana Ada Kemahuan, Di Situ Ada Jalan

4. Kisah di sebalik pertumbuhan kita sebahagiannya disokong oleh sektor pembuatan – yang berkembang sebanyak 7.5% pada S2 2026, meningkat daripada 5.9% pada S1 2026 – didorong oleh produk elektrik & elektronik (E&E) dan optik.

5. Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Strategi Semikonduktor Negara serta penglibatan berterusan dengan syarikat-syarikat teknologi global terkemuka telah membantu Malaysia untuk mula memposisikan dirinya sebagai pusat aktiviti bernilai tinggi bagi reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju, penyelidikan dan pembangunan, serta perkhidmatan teknologi.

6. Malaysia bersedia untuk menyambut pelaburan baharu oleh syarikat-syarikat global yang giat menyusun semula dan mempelbagaikan rantaian bekalan mereka. Sektor perkhidmatan terus menjana pertumbuhan, disokong oleh penggunaan domestik yang berdaya tahan dan pasaran buruh yang bertambah baik. Sektor pembinaan juga mengekalkan momentumnya, manakala sektor perlombongan pulih dengan kukuh.

7. Disiplin makroekonomi turut memainkan peranan penting. Inflasi menurun kepada 1.9% pada bulan Jun walaupun berlaku lonjakan harga minyak mentah global. Rangka kerja dasar kita melindungi isi rumah daripada kesan terburuk ‘inflasi import’ sambil membolehkan Kerajaan meneruskan penyasaran semula subsidi dan perancangan fiskal secara berhati-hati.

8. Defisit fiskal berada pada trajektori menurun. Ringgit kekal berdaya tahan. Keyakinan pelabur yang telah meningkat juga menyumbang kepada keputusan sektor perniagaan untuk terus melabur, dan sekaligus mencipta pekerjaan.

9. Ringkasnya, pencapaian makroekonomi kita jelas merupakan hasil daripada penyusunan dasar yang rapi, serta usaha dan keyakian berterusan terhadap hala tuju ekonomi negara.

Risiko Pertumbuhan Yang Tidak Sekata

10. Inilah maksud ‘peninggian siling’ yang digariskan oleh rangka kerja Ekonomi MADANI 2023, merangkumi perluasan potensi pertumbuhan Malaysia, peningkatan kedudukan kita di rantaian nilai dan pemulihan kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing. Anggaran pertumbuhan KDNK bagi separuh pertama 2026 membuktikan bahawa kita berjaya mencapai objektif ini.

11. Namun “siling” hanya separuh daripada cerita sebenar. Aktiviti pertanian, contohnya di dalam sektor kelapa sawit dan perikanan, telah melemah. Akibat pertumbuhan yang tidak sekata, angka KDNK yang kukuh lazimnya ‘menyembunyikan’ tekanan besar dalam sektor dan komuniti tertentu.

12. Contohnya, dengan pertumbuhan KDNK yang dipacu eksport barangan elektrik dan elektronik, seorang jurutera semikonduktor di Pulau Pinang mampu menikmati hidup yang selesa, namun ceritanya berbeza bagi seorang nelayan di Terengganu yang berhadapan dengan kos perumahan, jagaan anak, pendidikan dan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat.

13. Tekanan harian ini kerap saya lihat semasa aktiviti turun padang di Lembah Klang, baik dari segi kos pengangkutan, makanan dan asuhan anak. Bagi generasi ‘sandwich’, iaitu yang menjaga anak-anak dan juga ibu bapa mereka, tekanan tersebut tentunya berganda. Justeru, Malaysia perlu mengukuhkan ‘lantai’ ekonomi melalui gaji yang berpatutan, perlindungan sosial yang kukuh, perkhidmatan awam yang berkualiti, dan peluang saksama untuk rakyat memperbaiki kehidupan mereka.

Empat Langkah Untuk Menaikkan ‘Lantai’

14. Caranya? Pertama, gaji mesti meningkat selaras dengan produktiviti. Sudah berdekad lamanya, Malaysia ketinggalan berbanding pelbagai ekonomi setanding dari sudut sumbangan buruh kekal kepada pendapatan negara. Dasar Gaji Progresif, semakan gaji minimum dan langkah-langkah untuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing berkemahiran rendah perlu disokong oleh reformasi ekonomi yang lebih menyeluruh.

15. Seiring dengan kejayaan Malaysia menarik pelaburan berteknologi maju, pekerjaan yang dicipta juga mesti berkemahiran dan bergaji lebih tinggi. Rakyat Malaysia perlu dilatih untuk mengisi peluang ini. Justeru, pemindahan teknologi dan pembinaan kapasiti domestik mesti menjadi kriteria utama bagi pelaburan yang dicadangkan.

16. Kedua, perlindungan sosial mesti mencerminkan realiti ekonomi moden. Struktur keselamatan sosial Malaysia yang sedia ada direka pada zaman pekerjaan formal yang stabil. Hari ini, ramai rakyat Malaysia bekerja dalam ekonomi gig dan perusahaan mikro yang tidak dilindungi oleh KWSP atau PERKESO, walaupun terdapat usaha proaktif untuk berbuat demikian.

17. Memperluas keselamatan sosial kepada golongan pekerja ini mampu menguatkan infrastruktur ekonomi. Sumbangan fleksibel dan insentif yang sesuai dapat memastikan fleksibiliti pekerjaan dan juga keselamatan sosial.

18. Ketiga, subsidi hanya wajar diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan. Adalah tidak bertanggungjawab untuk terus memberikan subsidi pukal kepada isi rumah yang kaya dan warga asing.

19. Ujian sebenar sesuatu reformasi juga terletak pada sejauh mana penjimatan itu memanfaatkan rakyat melalui bantuan tunai yang mencukupi, serta perkhidmatan pendidikan, kesihatan dan awam yang lebih baik. Penyasaran semula subsidi juga amat perlu bagi memastikan kemampanan fiskal dan dasar perlindungan sosial.

20. Keempat, perniagaan kecil dan rantaian bekalan domestik mesti turut mendapat manfaat daripada aliran masuk pelaburan, terutamanya bagi PKS yang menggaji kira-kira 48% tenaga kerja Malaysia.

21. Firma tempatan memerlukan sokongan untuk membina kapasiti, menggunakan teknologi dan mendapatkan pembiayaan bagi meningkatkan kedudukan mereka di rantaian nilai. Oleh itu, peruncit mahupun pengeluar kecil perlu mendapat akses kepada pendigitalan. Tambahan pula, selain koridor yang sudah mantap seperti Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Kuching, kesalinghubungan yang lebih baik, kemudahan dan fasilitasi pelaburan turut penting bagi pertumbuhan dan peluang di kawasan atau negeri lain Malaysia.

Pertumbuhan Adalah Wasilah Ke Arah Maruah Insan

22. Kita juga perlu memperluas ukuran kejayaan ekonomi kita untuk merangkumi gaji median sebenar, peratus peruntukan keuntungan korporat untuk pekerja, pertumbuhan gaji dalam kalangan berpendapatan rendah, pendapatan boleh guna isi rumah, penciptaan pekerjaan berkemahiran, produktiviti PKS, dan pekerjaan yang tidak setara dengan kelulusan dalam kalangan belia. Apa yang diukur oleh penggubal dasarlah yang bakal diutamakan oleh perniagaan dan masyarakat.

23. Anggaran KDNK terkini memberitahu kita bahawa Malaysia mampu berkembang, bersaing dan menanam keyakinan walaupun dalam keadaan global yang sukar. Pencapaian ini patut diiktiraf. Tetapi persoalan yang lebih sukar ialah: siapakah yang benar-benar merasai kejayaan itu dalam kehidupan seharian mereka?

24. ‘Siling’ ekonomi yang tinggi sememangnya dialu-alukan, namun tanpa ‘lantai’ ekonomi yang kukuh, kita akan berhadapan dengan peningkatan jurang kekayaan dan masyarakat yang tidak stabil. Sebaliknya, lantai yang kukuh tanpa siling yang meningkat juga bukanlah satu situasi ideal untuk kemampanan ekonomi jangka panjang. Malaysia perlu memperkukuhkan kedua-duanya.

25. Kita telah membuktikan bahawa kita mampu meninggikan siling. Kini kita mesti memastikan taraf setiap rakyat Malaysia turut dapat dipertingkatkan. Pertumbuhan KDNK adalah wasilah. Kehidupan yang bermaruah untuk rakyat adalah matlamatnya.

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast