Bendera parti berkibar sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar Pekan Linggi, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 22 JULAI 2026.

SEREMBAN – Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini boleh menjadi platform bagi rakyat menunjukkan sokongan terhadap ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempertahankan pendirian Malaysia berhubung isu Israel, selain usaha membanteras rasuah dan memperkukuh ekonomi negara.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) di Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata, sokongan itu boleh dizahirkan dengan memberi undi kepada Pakatan Harapan (PH), selain mengukuhkan kestabilan politik negara di tengah-tengah kemelut politik dan sosial yang melanda.

Menurutnya, PRN berkenaan juga boleh dijadikan ruang untuk rakyat memberikan mandat moral terhadap kepimpinan Anwar, termasuk pendirian tegasnya dalam isu antarabangsa, usaha membanteras rasuah, memperkukuh tadbir urus serta memulihkan ekonomi negara.

“PRN ini sebagai platform untuk mendapatkan mandat moral daripada rakyat terhadap kepimpinan Anwar termasuk pendiriannya dalam isu antarabangsa, usaha membanteras rasuah, memperkukuh tadbir urus, serta memulihkan ekonomi negara.

“Walau bagaimanapun, para pengundi juga akan mengambil kira faktor prestasi kerajaan negeri, kredibiliti calon, isu kos sara hidup, peluang ekonomi dan sejauh mana dasar yang dilaksanakan benar-benar dirasai memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Putrajaya menegaskan Malaysia akan mengusir serta-merta mana-mana warga Israel yang dikesan menyertai program Network School di Forest City, Johor.

Susulan pendirian itu, lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan tegas Anwar berhubung isu berkenaan.

Mereka ialah Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss, yang kesemuanya daripada Parti Demokrat.

Dr. Mashitah Mohd Udin

Dalam pada itu, Mashitah berkata, sekiranya pengundi melihat terdapat kesinambungan antara kestabilan politik, prestasi pentadbiran dan kesejahteraan rakyat, keadaan itu berpotensi memberikan kelebihan kepada PH.

“Namun, keputusan akhir tetap bergantung kepada pertimbangan menyeluruh para pengundi terhadap isu-isu yang paling dekat dengan kehidupan mereka pada masa kini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast