Abd Latif yakin perancangannya itu mampu merancakkan ekonomi tempatan serta membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda.

TAMPIN – Muncul sebagai calon paling tua Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak menghalangnya berjiwa muda apabila berhasrat mengubah identiti Pekan Gemencheh daripada sekadar dikenali sebagai ‘pekan rendang maman’ kepada sebuah hab kecemerlangan sukan.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh, yang juga Naib Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan, Datuk Abd Latif A. Thambi, 70, berkata, beliau yakin perancangannya itu mampu merancakkan ekonomi tempatan serta membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda.

Menurutnya, Gemencheh mempunyai potensi besar melahirkan atlet berbakat kerana ramai pelajar di kawasan itu cemerlang dalam pelbagai jenis sukan, namun kekurangan kemudahan menyebabkan bakat tersebut tidak dapat dikembangkan secara optimum.

Katanya, Gemencheh selama ini hanya dilihat sebagai kawasan transit di antara Tampin, Repah dan Gemas, selain pembangunan yang agak perlahan berbanding kawasan sekitarnya.

Datuk Abd Latif A. Thambi,

“Sekarang kita dikenali sebagai pekan atau kawasan makanan, terutama rendang maman tetapi ramai anak-anak muda mahukan pembangunan dan peluang ekonomi.

“Sebab itu saya ada idea untuk menjadikan Gemencheh sebagai satu hab atau Centre of Sports Excellence kerana kita ada ramai anak muda yang cemerlang dalam sukan seperti hoki, kriket dan golf.

“Di Felda pun ada anak-anak yang bermain golf jadi kenapa kita tidak manfaatkan kelebihan ini dan angkat kawasan ini menjadi sebuah hab sukan?” katanya pada program kempen PRN Negeri Sembilan di sini.

Abd Latif berkata, bagi merealisasikan visi itu, Gemencheh memerlukan pembangunan infrastruktur sukan yang lebih lengkap termasuk padang baharu, balapan olahraga serta pusat riadah moden.

“Kita tidak ada balapan, kita buat balapan, kita bangunkan pusat riadah supaya satu hari nanti Gemencheh mempunyai ekonominya sendiri dan anak-anak muda dapat merealisasikan impian mereka.

“Saya juga berharap suatu hari nanti kita dapat membawa cawangan Sekolah Sukan Bukit Jalil ke Gemencheh untuk membangunkan kawasan ini biar pun menjadi calon paling tua pada PRN kali ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Abd Latif berkata, usia bukan penghalang untuk terus berkhidmat kerana pengalaman politik serta jaringan hubungan dengan kepimpinan nasional menjadi kelebihan bagi merealisasikan pelbagai agenda pembangunan.

“Anak-anak muda kebanyakannya terpaksa keluar mencari kerja kerana peluang di sini tidak banyak dan kita mahu kekalkan mereka di Gemencheh,” katanya.

Abd Latif bakal berdepan penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Suhaimizan Bizar, dalam persaingan satu lawan satu 1 Ogos ini.

Seramai 103 calon bertanding bagi merebut 36 kerusi DUN pada PRN Negeri Sembilan Ke-16 menyaksikan Abd Latif sebagai calon paling tua manakala calon termuda ialah Leevineshwaraan Murugan berusia 23 tahun mewakili Bersatu bagi DUN Sri Tanjung.

Daripada jumlah itu, Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan 36 calon, diikuti Barisan Nasional (BN) 25 calon, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 24 calon, Perikatan Nasional (PN) 11 calon dan empat calon Bebas- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast