Penguatkuasa DBKL mengeluarkan kompaun terhadap kontraktor yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam Operasi Korekan Jalan Awam di beberapa lokasi sekitar ibu negara. Gambar: Facebook DBKL.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 12 notis kompaun terhadap empat kontraktor pembinaan yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam Operasi Korekan Jalan Awam di beberapa lokasi sekitar ibu negara.

Operasi yang dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) itu bermula pada pukul 10 malam kelmarin dan berakhir pada pukul 3 pagi semalam, melibatkan kawasan Jalan Syed Putra, Jalan Tun Sambanthan dan Jalan Taman Setiawangsa.

Pemantauan dan pemeriksaan dijalankan bagi memastikan kerja-kerja pembaikan serta penyelenggaraan seperti pemasangan paip, penurapan jalan, pembaikan longkang dan utiliti termasuk bekalan air, elektrik serta telekomunikasi dilaksanakan mengikut syarat dan kelulusan yang ditetapkan.

“Hasil pemeriksaan di lima lokasi mendapati, beberapa kontraktor melakukan pelbagai kesalahan, antaranya gagal memasang lampu amaran (blinker), tidak menyediakan pengawal lalu lintas, menyebabkan kerosakan laluan pejalan kaki, menutup jalan tanpa kebenaran, menggunakan jentera berantai tanpa pematuhan, lori tanpa permit mengangkut bahan binaan serta menyebabkan jalan awam menjadi kotor.

“Daripada jumlah kompaun yang dikeluarkan, empat notis adalah di bawah Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1997 manakala lapan lagi di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” menurut DBKL menerusi hantaran di Facebook.

Dalam operasi sama, CIDB turut mengeluarkan enam notis arahan hadir kepada kontraktor terlibat bagi mendapatkan maklumat berhubung kerja-kerja pembinaan yang didapati dijalankan tanpa kebenaran dan kelulusan.

DBKL memaklumkan, pihaknya akan terus mempergiatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta pematuhan undang-undang oleh semua pihak.

Orang ramai yang mempunyai aduan atau maklum balas berhubung perkara itu boleh menyalurkannya melalui saluran rasmi DBKL. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast