Calon Pakatan Harapan (PH) N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad menyantuni pengundi ketika berkempen di sekitar Taman Desa Rhu, Sikamat, Seremban, hari ini

SEREMBAN – Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kini berada dalam keadaan bercelaru sehingga gagal memberi keyakinan kepada rakyat.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Nor Azman Mohamad berkata, keadaan itu jelas apabila kedua-dua gabungan terbabit mengumumkan kerjasama politik, namun pada masa sama tidak mengemukakan manifesto bersama.

Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan kekeliruan mengenai hala tuju sebenar gabungan berkenaan sekiranya diberi mandat mentadbir negeri.

“BN dan PN mendakwa mereka bersama, tetapi dalam masa sama mereka tidak berkongsi manifesto yang sama. Ini menunjukkan berlaku kecelaruan persefahaman dalam kalangan mereka.

“Ia juga memberi isyarat kerjasama itu bukan satu gabungan kukuh untuk mentadbir Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas berkempen dari rumah ke rumah di sekitar Taman Desa Rhu, di sini, lewat petang tadi.

Calon Pakatan Harapan (PH) N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad menyantuni pengundi ketika berkempen di sekitar Taman Desa Rhu, Sikamat, Seremban, hari ini

Nor Azman turut mengaitkan perkara itu dengan usaha pembangkang sebelum ini mengumpulkan Akuan Bersumpah (SD) bagi mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.

Menurutnya, tindakan mengumpulkan 19 SD membabitkan wakil rakyat BN dan PN membuktikan matlamat kerjasama mereka lebih menjurus kepada mengambil alih kuasa berbanding menawarkan dasar kepada rakyat.

“Rakyat kini mampu menilai sendiri kestabilan politik yang ditawarkan oleh setiap gabungan menjelang hari pengundian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast