SEREMBAN – Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming menegaskan tiada mana-mana kaum di negara ini boleh dilabel sebagai pendatang sambil mengangkat kad pengenalannya sebagai simbol bahawa semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang mempunyai hak yang sama sebagai warganegara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, naratif yang mempertikaikan kedudukan rakyat Malaysia berdasarkan kaum hanya akan menghakis perpaduan yang dibina bersama sejak sekian lama.
Beliau berkata demikian ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang menyaksikan isu perkauman kembali menjadi perhatian susulan beberapa kenyataan pemimpin politik sejak kebelakangan ini.
“Ini kad pengenalan saya. Saya bukan pendatang. Kita semua adalah Anak Malaysia,” katanya.
Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, keluarganya seperti jutaan rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India telah menetap di negara ini sejak turun-temurun dan memegang kad pengenalan Malaysia selama empat hingga lima generasi.
Menurut beliau, sejarah Malaysia membuktikan masyarakat Melayu, Cina, India serta pelbagai kaum lain telah bersama-sama membangunkan negara sehingga mencapai kemajuan yang dinikmati hari ini.
Katanya, tiada mana-mana komuniti sepatutnya dianggap sebagai pendatang kerana setiap kaum telah memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi, sosial dan pembinaan negara bangsa.
“Kita bukan pendatang. Kita adalah antara mereka yang membantu membina negara ini.
“Orang Melayu, Cina dan India telah berganding bahu membina Malaysia seperti yang kita nikmati hari ini,” ujarnya lagi.
Kor Ming berkata, semua rakyat Malaysia berkongsi tanah air yang sama dan perlu terus mempertahankan semangat perpaduan serta saling menghormati tanpa mengira bangsa atau agama.
Beliau berkata, usaha memecah-belahkan masyarakat melalui sentimen kaum hanya akan menjejaskan keharmonian yang menjadi asas kekuatan negara sejak merdeka.
Kenyataan Nga itu dipercayai mengulas polemik yang tercetus selepas Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika berkempen sebelum ini mengeluarkan kenyataan ‘Cina ada China, India ada India’, mengundang kritikan pelbagai pihak kerana disifatkan boleh mengguris perasaan masyarakat bukan Melayu.
Susulan itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menegur kenyataan berkenaan dengan mengingatkan masyarakat Cina dan India di Malaysia bukan berasal dari negara asal nenek moyang mereka, sebaliknya merupakan rakyat Malaysia yang lahir, membesar dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Bagaimanapun, Muhammad Sanusi kemudiannya mempertahankan ucapannya dengan mendakwa kenyataan tersebut telah dipetik di luar konteks dan dimanipulasi, sambil menegaskan beliau tidak pernah merujuk kepada masyarakat Cina dan India yang merupakan warganegara Malaysia.
Kor Ming berkata, ketika negara berdepan pelbagai cabaran ekonomi dan kos sara hidup, pemimpin politik seharusnya memperkukuhkan perpaduan rakyat, bukannya menghidupkan semula naratif yang boleh memecah-belahkan masyarakat mengikut garis perkauman.
“Malaysia adalah tanah air kita bersama. Kita semua adalah Anak Malaysia,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















