PILAH – Lebih ramai warga emas di DUN Pilah bakal menikmati Bantuan Keceriaan Warga Emas sekiranya Pakatan Harapan (PH) diberi mandat untuk terus mentadbir Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Calon PH DUN Pilah, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim berkata, pihaknya bercadang meningkatkan kadar Bantuan Keceriaan Warga Emas daripada RM200 kepada RM300 seorang, selain menurunkan syarat kelayakan umur daripada 70 tahun kepada 65 tahun ke atas.
Menurutnya, cadangan itu dibuat selepas beliau mendengar sendiri pandangan serta maklum balas rakyat sepanjang siri kempen dan sesi walkabout yang diadakan di seluruh DUN Pilah.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi walkabout di Pasar Besar Kuala Pilah dan sekitar Pinggiran Bandar, yang memberi peluang kepadanya menyantuni para peniaga, penduduk serta masyarakat Tionghua.
“Ramai yang saya temui bukan sahaja menyambut baik kehadiran kami, malah berkongsi pengalaman sebagai penerima Bantuan Keceriaan Warga Emas yang dilaksanakan kerajaan negeri.
“Maklum balas itu memberi keyakinan bahawa inisiatif ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan wajar diteruskan serta diperkasakan,” ujarnya.

Noorzunita berkata, cadangan menaikkan kadar bantuan dan meluaskan syarat kelayakan dibuat bagi memastikan lebih ramai warga emas dapat menikmati bantuan itu dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar.
Katanya, ramai warga emas masih aktif membantu keluarga dan menanggung pelbagai perbelanjaan harian, justeru bantuan tersebut mampu meringankan sedikit beban yang mereka tanggung.
“Apabila had umur diturunkan kepada 65 tahun, lebih ramai warga emas boleh menikmati bantuan ini lebih awal tanpa perlu menunggu sehingga berusia 70 tahun.
“Ini bukan semata-mata bantuan kewangan, tetapi sebagai tanda penghargaan kepada golongan yang telah banyak berjasa kepada keluarga, masyarakat dan pembangunan negeri,” ujarnya.
Beliau berkata, sepanjang turun padang, beliau sering bertemu warga emas yang menyatakan penghargaan terhadap pelaksanaan bantuan berkenaan kerana sedikit sebanyak membantu menampung keperluan harian mereka.
Menurutnya, pengalaman bertemu dan mendengar sendiri denyut nadi rakyat menjadi panduan penting dalam menentukan keutamaan yang perlu diperjuangkan sekiranya diberi mandat sekali lagi mewakili Pilah.
Noorzunita berkata, kebajikan warga emas akan terus menjadi antara agenda utama beliau kerana golongan itu memerlukan perhatian berterusan, terutama dalam aspek kos sara hidup, kesihatan dan kesejahteraan.

“Kita mahu lebih ramai warga emas menikmati bantuan ini lebih awal. Mereka telah banyak berjasa membesarkan keluarga dan membangunkan masyarakat.
“Sebab itu saya percaya kebajikan mereka perlu terus diperkasakan supaya tiada yang tercicir daripada menikmati bantuan yang disediakan,” katanya. – MalaysiaGazette
















