KUALA LUMPUR – Islamic Tourism Centre (ITC) menjelaskan, Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) bukanlah satu pengiktirafan setaraf sijil halal dan ia juga tidak menggantikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Sebaliknya, MFAR diwujudkan bagi mengiktiraf produk dan perkhidmatan dalam sektor pelancongan serta hospitaliti yang memenuhi keperluan pelancong Muslim termasuk penyediaan kemudahan ibadah, makanan halal dan perkhidmatan yang selesa serta selamat berteraskan prinsip Islam.
“Konsep Mesra Muslim mula berkembang di peringkat antarabangsa sejak penghujung tahun 2000-an sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap pengalaman perjalanan yang mengambil kira keperluan pelancong Muslim,” katanya dalam kenyataan susulan perbincangan serta kekeliruan yang timbul di media sosial mengenai penggunaan istilah ‘Mesra Muslim’ (Muslim-Friendly).
ITC menjelaskan, konsep tersebut tidak mengubah atau menggantikan pensijilan halal sedia ada, sebaliknya melengkapkan ekosistem halal negara menerusi pengiktirafan terhadap premis dan perkhidmatan yang mesra Muslim.
Sehubungan itu, ITC telah membangunkan kerangka Muslim-Friendly Tourism and Hospitality (MFTH) dan memperkenalkan MFAR sebagai program pengiktirafan rasmi bagi produk serta perkhidmatan pelancongan dan hospitaliti di Malaysia.
Antara skop MFAR ialah penginapan pelancongan, syarikat agensi pelancongan, premis spa dan kesejahteraan serta pelbagai produk dan perkhidmatan lain dalam ekosistem pelancongan dan hospitaliti.
Bagi premis yang menyediakan makanan dan minuman, ITC memaklumkan, pematuhan terhadap keperluan Pensijilan Halal Malaysia turut menjadi antara elemen penting dalam proses pengiktirafan MFAR yang dilaksanakan dengan kerjasama rapat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menurut ITC, MFAR turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila pendekatan itu telah diterima pakai di beberapa negara termasuk Rusia dan Taiwan, sekaligus membuktikan kerelevanannya dalam memperkukuh sektor pelancongan mesra Muslim di peringkat global.
Malaysia juga terus mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim nombor satu dunia selama 11 tahun berturut-turut hasil pembangunan ekosistem Muslim-Friendly Tourism and Hospitality yang komprehensif.
Sebagai agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), ITC menegaskan, komitmennya untuk terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi mesra Muslim yang diyakini di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, orang ramai dan pihak berkepentingan digalakkan merujuk saluran rasmi ITC bagi mendapatkan maklumat yang tepat mengenai MFAR agar tidak timbul salah faham berhubung skop serta tujuan pengiktirafan berkenaan. – MalaysiaGazette
















