KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan mengalami kecederaan selepas kereta Honda Civic yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tiang lampu isyarat di Jalan Persiaran Perpaduan berhampiran Restoran Pasembur Hussin, USJ 9, Subang Jaya, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 malam, namun video insiden berkenaan mula tular di media sosial pukul 12.47 tengahari hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati, Honda Civic yang dipandu mangsa berusia 31 tahun itu dari arah Jalan Persiaran Perpaduan dipercayai telah hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar sebatang tiang lampu isyarat.
“Pemandu mengalami kecederaan pada bahagian kaki, tangan dan rusuk.
“Mangsa telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta sebelum tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya,’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Subang Jaya, Sarjan Mohd Faiz Akmal Hashim di talian 017-8886792.
“Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. – MalaysiaGazette
















