KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Malaysia memandang serius tuduhan yang dibuat oleh pemimpin PKR, Dr. Sathia Prakash, terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dengan mendakwa seolah-olah Menteri Besar Kedah itu pernah menyebut, “Cina balik China, India balik India”.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa, tuduhan tersebut amat berat, bersifat menghasut dan cukup berbahaya.
“Ia bukan sekadar serangan politik biasa, tetapi memberikan gambaran palsu bahawa seorang pemimpin Melayu-Islam yang sedang mentadbir sebuah kerajaan negeri mahu menghalau rakyat Malaysia berdasarkan kaum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hakikatnya, jelas Afnan Hamimi, ucapan Muhammad Sanusi dalam ceramah di Jempol adalah berbeza daripada apa yang didakwa dan Menteri Besar Kedah itu tidak pernah menyebut atau mengarahkan masyarakat Cina “balik ke China” dan masyarakat India “balik ke India”.
Dakwa beliau, perkataan “balik” yang ditambah telah mengubah keseluruhan maksud ucapan beliau.
“Manipulasi seperti ini boleh membangkitkan kemarahan, ketakutan serta ketegangan Antara kaum, seolah-olah mengajak rakyat Malaysia untuk terus bertegang urat dan saling bermusuhan,” ujarnya.
Pemuda Pas, katanya, kesal apabila seorang ahli politik PKR yang bersekongkol dengan DAP sanggup bermain dengan sentimen perkauman demi mendapatkan keuntungan politik.
Tegasnya, kritikan politik mesti dibuat berdasarkan fakta dan rakaman sebenar, bukannya dengan mencipta petikan yang tidak pernah disebut.
Sehubungan itu, Pemuda Pas akan membuat laporan polis terhadap penyebaran dakwaan palsu tersebut agar pihak berkuasa menyiasat sama ada wujud unsur hasutan, penyebaran maklumat palsu serta perbuatan yang boleh mencetuskan permusuhan antara kaum.
Sekiranya dakwaan palsu itu turut dimasukkan dalam mana-mana laporan polis, perkara tersebut juga wajar disiasat sebagai kemungkinan pemberian maklumat palsu kepada pihak berkuasa, tambahnya.
Malah, Pemuda Pas mendesak Dr. Sathia menarik balik tuduhan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada Muhammad Sanusi serta seluruh rakyat Malaysia yang telah dikelirukan.
Pemuda Pas turut menggesa Kerajaan Negeri Kedah atau Muhammad Sanusi sendiri mempertimbangkan tindakan saman sivil terhadap pihak berkenaan.
“Tindakan tegas perlu diambil supaya budaya memutarbelitkan ucapan, mencipta fitnah dan melaga-lagakan kaum tidak terus menjadi senjata politik.
“Pemuda PAS, katanaya, akan terus memantau mana-mana pemimpin PKR dan DAP yang cuba menggunakan sentimen perkauman untuk mencetuskan kebencian serta merosakkan keharmonian negara.
“Jangan bakar sentimen perkauman demi kepentingan politik,” tegas beliau sambil menyifatkan berbeza politik bukan lesen untuk memfitnah. – MalaysiaGazette
















