Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat reruai pada Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Wakaf Dakwah di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Foto AIZAT ZAINAL, 27 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memulakan perbincangan bagi memperkasakan inisiatif Wakaf Dakwah di negara ini termasuk melibatkan beberapa kementerian berkaitan sebelum dibawa ke Jemaah Menteri dan seterusnya dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha tersebut merupakan langkah penting untuk melonjakkan peranan wakaf sebagai instrumen pembangunan dakwah yang lebih tersusun dan berkesan, selain memperkukuh peranan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) sebagai wadah penyebaran Islam yang sederhana dan penuh hikmah.

“Saya telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan untuk memulakan perbincangan bersama Perkim dan pihak berkaitan.

“Selepas melalui proses yang ditetapkan, perkara ini akan dimaklumkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu sebagaimana ketetapan sedia ada berkaitan hal ehwal wakaf,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Wakaf Dakwah di sini, hari ini.

Hadir sama Premier Sarawak, Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg yang juga Yang Dipertua Perkim.

Menurut Anwar, Perkim yang diasaskan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj perlu terus diperkasakan agar kekal relevan sebagai platform dakwah yang membawa mesej Islam yang inklusif, sederhana dan mampu membina persefahaman dalam masyarakat majmuk.

Katanya, pelantikan tokoh korporat dan Presiden Perkim, Tan Sri Razali Ismail sebagai peneraju baharu pertubuhan itu diyakini mampu mengangkat semula peranan pertubuhan di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Perkim tidak boleh dibiarkan malap. Ia perlu digilap semula dan saya yakin dengan komitmen kepimpinan baharu, pertubuhan ini mampu menjadi suara Islam yang membawa hikmah dan kebijaksanaan dalam menyantuni masyarakat,” katanya.

Anwar turut menegaskan, pendekatan dakwah pada masa kini perlu lebih canggih dan bersesuaian dengan cabaran semasa termasuk menangani gejala Islamofobia serta persepsi negatif terhadap Islam yang masih wujud di peringkat global.

“Cabaran hari ini bukan lagi soal penjajahan fizikal, tetapi penjajahan pemikiran. Sebab itu dakwah perlu disampaikan dengan penuh hikmah, menggunakan pendekatan yang bijaksana dan memanfaatkan teknologi semasa,” ujarnya.

Beliau berkata, konsep wakaf bukanlah sesuatu yang baharu kerana institusi pendidikan Islam terkemuka seperti Universiti Al-Azhar dibangunkan hasil sumbangan wakaf, manakala Malaysia dan Indonesia turut mempunyai sejarah panjang dalam membangunkan institusi pendidikan dan penyelidikan melalui kaedah tersebut.

Dalam pada itu, Anwar menekankan kepentingan menguasai teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan pengkomputeran kuantum bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam arus perubahan global.

Namun, beliau mengingatkan kemajuan teknologi perlu diseimbangkan dengan nilai keimanan, akhlak dan jati diri.

“Saya sering menyebut, kita perlu ‘menggapai di langit dan mengakar di bumi’. Menggapai di langit bermaksud menguasai teknologi baharu, manakala mengakar di bumi ialah memastikan kita kekal berpaksikan akidah, akhlak, budaya dan sejarah bangsa.

“Jika kita hanya mengejar teknologi tanpa nilai kemanusiaan, kita akan kehilangan arah. Sebab itu, kemerdekaan perlu dimaknakan dengan membina sebuah negara maju yang tetap berteraskan nilai dan identiti sendiri,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak termasuk pertubuhan dakwah dan kerajaan negeri, untuk memberikan sokongan penuh kepada usaha memperkasa Perkim dan inisiatif Wakaf Dakwah demi memastikan syiar Islam terus berkembang secara harmoni dan berkesan di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast