SEREMBAN – Presiden Parti Wawasan Negara (PWN), Datuk Seri Hamzah Zainudin yakin gelombang sokongan terhadap gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan diterjemahkan oleh pengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, esok.
Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan sambutan menggalakkan yang diterima sepanjang tempoh berkempen apabila rakyat dilihat semakin terbuka menerima gabungan berkenaan.
Menurutnya, maklum balas positif yang diterima daripada pelbagai lapisan masyarakat menunjukkan momentum sokongan kepada “Kumpulan Biru” semakin meningkat menjelang hari pengundian.
“Kalau kita melihat kepada gelombang yang berlaku ketika ini, Insya-Allah saya yakin pengundi awal juga akan memberikan hak dan sokongan mereka kepada kita.
“Apabila kita bertemu rakyat dan melihat sendiri sambutan yang diberikan, ia memberikan keyakinan bahawa rakyat mahukan perubahan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas berkempen di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, di sini, hari ini.
Hamzah juga menyeru pengundi awal supaya menggunakan hak mengundi secara bebas tanpa dipengaruhi rasa takut atau tekanan daripada mana-mana pihak.
Menurut Ketua Pembangkang itu, setiap pengundi mempunyai hak untuk menentukan masa depan negeri dan negara mengikut hati nurani masing-masing.
“Jangan takut. Pengundian adalah hak kita untuk menentukan masa depan. Jangan kita mengundi kerana rasa takut kerana akhirnya kita akan memilih orang yang bukan sebenarnya pilihan hati kita.
“Biarlah kita mengundi dengan rela hati demi masa depan kita bersama,” katanya.
Menurut Hamzah, pengundi perlu membuat keputusan berdasarkan keupayaan calon dan gabungan yang mampu membawa pembangunan serta kesejahteraan kepada rakyat.
“Saya berharap pengundi awal menjadi pencetus kepada perubahan dengan memilih kerajaan yang diyakini mampu mentadbir Negeri Sembilan dengan lebih baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















