Pihak forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

SIMPANG AMPAT – Seorang lelaki yang mempunyai beberapa rekod jenayah lampau cedera ditembak dalam kejadian di hadapan deretan bangunan kedai di Jalan Perniagaan Seri Tambun di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa berusia 38 tahun dikatakan baru selesai melakukan senaman di sebuah gimnasium sebelum singgah membeli telur di sebuah kedai serbaneka di bangunan sama.

Difahamkan, ketika mangsa hendak memasuki keretanya, dia didatangi seorang lelaki yang memakai jaket hitam dan bertopeng sebelum suspek melepaskan beberapa tembakan ke arahnya.

Mangsa kemudian dikatakan melarikan diri dengan memasuki sebuah kedai makan berhampiran bagi menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, suspek mengejar mangsa dan melepaskan beberapa lagi das tembakan sehingga dipercayai satu daripada tembakan itu terkena pada tangan kanan mangsa.

Difahamkan, suspek melepaskan sekurang-kurangnya lima das tembakan sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.

Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou  ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast