PUTRAJAYA – Cadangan pindaan Akta Penjara 1995 bukan bertujuan memberi kekebalan undang-undang kepada pegawai penjara, sebaliknya bagi melindungi mereka yang menjalankan tugas dengan suci hati dan mengikut prosedur ditetapkan, tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, masih terdapat salah faham dalam kalangan segelintir pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang menganggap pindaan itu sebagai usaha memberikan perlindungan mutlak kepada pegawai penjara daripada sebarang tindakan undang-undang.
Menurutnya, perkataan “perlindungan” yang terkandung dalam cadangan pindaan tersebut perlu dilihat dalam konteks sebenar, iaitu memastikan pegawai penjara yang melaksanakan keputusan mahkamah tidak terdedah secara tidak wajar kepada saman atau tindakan undang-undang.
“Ini bukan percubaan untuk mendapatkan kekebalan undang-undang,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Saifuddin turut berkongsi beberapa contoh kes yang pernah berlaku, termasuk seorang pengarah penjara yang disaman selepas melaksanakan hukuman sebat terhadap banduan mengikut perintah mahkamah.
“Walaupun pegawai penjara hanya melaksanakan keputusan mahkamah, mereka tetap disaman. Dalam konteks inilah saya melihat ada keperluan untuk Akta Penjara dipinda,” katanya.
Beliau berkata, terdapat juga kes pegawai penjara disaman kerana makanan yang disediakan di penjara didakwa tidak sedap, selain insiden kematian banduan ketika tidur walaupun laporan perubatan mengesahkan tiada unsur jenayah atau salah laku.
Katanya, situasi sedemikian boleh menjejaskan moral pegawai penjara yang menjalankan tugas mengikut bidang kuasa dan prosedur ditetapkan.
“Kalau kita berada di tempat pegawai penjara, dalam keadaan mereka menjalankan tugas secara suci hati, mereka masih terdedah kepada tindakan undang-undang.
“Saya tegaskan berkali-kali bahawa ini bukan percubaan untuk mendapatkan kekebalan undang-undang,” ujarnya.
Beliau menambah, siasatan terhadap pegawai penjara tetap diteruskan sekiranya berlaku insiden melibatkan salah laku, termasuk melalui siasatan polis, tindakan dalaman dan semakan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
“Apabila Suhakam menyiasat kes di Penjara Kamunting, siasatan polis tetap dijalankan, tindakan dalaman turut diambil dan tindakan undang-undang juga boleh diteruskan.
“Ini membuktikan tidak pernah wujud niat untuk memberikan kekebalan kepada pegawai penjara,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin memaklumkan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) menerima sebanyak 1,635 aduan daripada orang ramai sejak mula beroperasi pada 2023 sehingga 24 Julai lalu.
Menurut beliau, jumlah itu mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap peranan IPCC sebagai badan pemantau tatakelakuan polis.
“IPCC menerima semua aduan, tetapi ada pembahagiannya. Jika terdapat elemen rasuah, IPCC akan menyalurkan kes berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),”” katanya. – MalaysiaGazette
















