KUALA LUMPUR – Seorang saksi pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau meminjam wang syarikat ibu dan adiknya untuk menyalurkan sumbangan RM19.5 juta kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung perolehan tender di bawah program Janawibawa.
Pengarah Mamfor Sdn. Bhd. Shahradzi Shamsuddin, 44, berkata, sumbangan itu diberikan selepas Sutracom Sdn. Bhd. yang dimiliki adiknya Shahrin mendapat tender membina dan menaik taraf Jalan Lingkaran Pulau Indah Fasa 3, Klang, Selangor.
“Saya sahkan jumlah yang disumbangkan sebanyak RM19.5 juta manakala sumber kewangan yang saya perolehi dengan meminjam daripada Sutracom RM13.7 juta manakala syarikat ibu saya, Majulia Sdn. Bhd. sebanyak RM7 juta.
“Daripada RM19.5 juta, saya menyumbang RM10.5 juta sebelum Sutracom menerima surat setuju terima (SST) manakala bakinya RM9 juta lagi disumbangkan setelah menerima SST,” ujarnya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes melibatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut saksi pendakwaan ke-20, beliau menyediakan enam surat minat bagi menyertai projek tersebut dengan meminjam enam lesen syarikat kontraktor milik adik dan kenalannya kerana beliau tidak mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk melaksanakannya.
Syarikat-syarikat itu ialah Multi Skilled Engineering Sdn Bhd, Majulia Sdn. Bhd., ANR Venturs Sdn. Bhd., Sejagat Bakti Sdn. Bhd., Smart Reliance Sdn. Bhd. dan Sutracom Sdn. Bhd.
Katanya, surat itu dihantar kepada Muhyiddin Yassin mendapatkan sokongan beliau selaku Perdana Menteri (ketika itu) untuk menyertai tender pra kelayakan pembinaan projek berkenaan.
Menurut Shahradzi, pada April 2021, beliau dihubungi seorang ahli perniagaan, Datuk Azman Yusoff yang memintanya memberi sumbangan kepada Bersatu bagi membantunya mendapatkan projek berkenaan.
“Datuk Azman memaklumkan projek ini mungkin berjaya dan meminta saya mendahulukan wang sumbangan kepada Bersatu, tanpa menyatakan jumlahnya,” ujar beliau.
Menurut Shahradzi, Azman tidak menetapkan nilai atau peratusannya, namun beliau menganggarkan sumbangan yang mampu diberikannya adalah sekitar tiga atau empat peratus daripada nilai kontrak.
Ujar pengarah itu, Azman juga tidak menetapkan cara bagaimana wang disalurkan sama ada menerusi cek atau tunai.
Beliau kemudian menyempurnakan cek dan diserahkan sendiri kepada seorang kakitangan di Ibu Pejabat Bersatu, Bangunan Yayasan Selangor, Petaling Jaya.
Katanya, pada Oktober 2022, Jabatan Kerja Raya (JKR) mengeluarkan SST kepada Sutracom dengan nilai projek sebanyak RM605.2 juta.
Pada sesi pemeriksaan utama, Shahradzi ditanya Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhubung perbezaan perkataan derma dan sumbangan.
Saksi menjelaskan, derma diberikan tanpa mengharapkan balasan manakala sumbangan adalah sebaliknya (untuk mengharapkan balasan).
Sewaktu ditanya perbezaan balasan dan imbuhan, beliau menyatakan, balasan ialah bagi mendapatkan sesuatu ganjaran manakala imbuhan ialah gaji atau ganjaran.
Pendakwa: Adakah ia (RM19.5 juta) satu derma atau imbuhan atau balasan?
Saksi: Ia adalah balasan.
Pendakwa: Jumlah RM19.5 juta ini besar, pernah beri sumbangan sebesar ini kepada mana-mana parti politik?
Saksi: Tidak pernah.
Pendakwa: Wang RM19.5 juta ini jika tidak diberi kepada Bersatu, apa yang anda boleh buat untuk syarikat?
Saksi: Kos operasi, beli aset, buat simpanan dan selesaikan hutang-hutang syarikat.
Pendakwa: Mengapa sebelum menerima SST, anda berani menyumbang jumlah yang sangat besar (kepada Bersatu)?
Saksi: Atas saranan Datuk Azman.
Pendakwa: Jika diberi pilihan Datuk Azman tidak meminta sumbangan, adakah anda akan sumbang walaupun RM100 kepada Bersatu?
Saksi: Tidak.
Pada sesi pemeriksaan balas oleh peguam Chetan Jethwani, saksi berkata, beliau tidak mengetahui sama ada Muhyiddin, pegawai Bersatu atau ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu meminta sumbangan RM19.5 juta.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung esok.
Muhyiddin, 79, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Program Janawibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022. – MalaysiaGazette
















